
#BeraniSayNo: Lebih 1,000 pelajar Pulau Pinang bangkit menentang buli!
Kempen Anti Buli #BeraniSayNo berjaya menutup tirainya dengan impak memberangsangkan selepas menjelajah tiga sekolah menengah di sekitar Pulau Pinang, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Tun Uda, SMK Bukit Gambir dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Phor Tay baru-baru ini.
Kempen berkenaan dianjurkan oleh U.N.M.U.T.E di bawah kursus YKT311 (Projek Tahun Akhir) oleh pelajar Komunikasi Strategik, Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM) dengan matlamat memperkukuh kefahaman pelajar terhadap isu buli, selain membina keberanian golongan 'bystander' untuk menjadi 'upstander'.
Inisiatif itu turut menggalakkan intervensi awal sebagai langkah penting menghentikan insiden buli di sekolah, sekali gus menanam kesedaran bahawa pelajar bukan sekadar pemerhati, tetapi mampu menjadi agen perubahan dalam komuniti sekolah.
Sepanjang pelaksanaan kempen, lebih 1,000 pelajar terlibat dalam pelbagai aktiviti berinteraktif termasuk ceramah kesedaran oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Befrienders, selain sesi perkongsian dan aktiviti yang membuka ruang kepada pelajar untuk tampil membantu rakan sebaya dalam menangani isu buli.

Penglibatan aktif ini dilihat mampu menyumbang kepada pembentukan persekitaran sekolah yang lebih selamat, harmoni dan saling menyokong.
Menurut Penasihat Projek, Dr Sharifah Nadiah Syed Mukhiar, kempen #BeraniSayNo memberi peluang bermakna kepada pelajar universiti untuk melalui keseluruhan proses pelaksanaan kempen strategik secara langsung.
"Daripada menyelaras kerjasama dengan PDRM, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) dan pihak sekolah, sehinggalah melaksanakan program di lapangan, pengalaman ini benar-benar menyediakan pelajar untuk industri sebenar.
"Mereka berpeluang mengaplikasikan teori yang dipelajari dalam situasi dunia nyata," katanya.
Sementara itu, wakil pensyarah, Dr Ng See Kee berkata, isu buli kini semakin kompleks dan memerlukan pendekatan menyeluruh, khususnya dalam melengkapkan golongan muda dengan kemahiran serta keberanian untuk campur tangan secara beretika dan berkesan.
"Keberanian sebenar tidak terletak pada kata-kata, tetapi melalui tindakan. Golongan muda perlu dibekalkan dengan alat dan kefahaman yang betul untuk membantu, bukan hanya berdiam diri,” ujarnya.
Dalam pada itu, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang, Lim Siew Khim menegaskan bahawa pendidikan awal memainkan peranan penting dalam membentuk nilai serta tingkah laku generasi masa depan.
"Program #BeraniSayNo membuktikan bahawa pencegahan buli bermula dengan kesedaran dan keberanian pelajar sendiri.
"Saya melihat sendiri bagaimana mereka belajar, memahami isu ini dan bersedia untuk bertindak. Inisiatif seperti ini wajar diteruskan kerana ia membantu membina budaya sekolah yang lebih selamat dan bertanggungjawab,” katanya.
286 pelajar SMK Raja Tun Uda sertai kempen
Sesi lawatan pertama kempen ini telah dilaksanakan pada 3 Disember lalu di SMK Raja Tun Uda, melibatkan kira-kira 286 pelajar.
Sepanjang program berlangsung, para pelajar digalakkan untuk berkongsi pandangan dan menunjukkan kefahaman tentang bagaimana tindakan serta pilihan mereka mampu mempengaruhi kesejahteraan rakan sebaya, sekali gus membentuk persekitaran sekolah yang lebih selamat dan positif.
Wakil PDRM, Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya, Asisten Superintenden Polis (ASP) Mohd Hasrul Ghazali mengingatkan pelajar supaya berani tampil ke hadapan dan tidak takut membuat laporan sekiranya berlaku kes buli.

"Beranikan diri, jangan takut dan tampil ke hadapan. Laporkan kepada guru, pembimbing rakan sebaya atau pihak polis kerana impak buli sangat buruk terhadap mangsa," katanya.
Sementara itu, Guru Bimbingan dan Kaunseling SMK Raja Tun Uda, Fatin Noraisyah Mohd Zaini Faiz berkata, kempen tersebut memberi pendedahan baharu kepada pelajar berkaitan langkah pencegahan buli.
"Mencegah buli adalah tanggungjawab bersama. Kempen ini membuka ruang kepada pelajar untuk memahami bahawa suara mereka penting.
"Keberanian untuk berkata ‘tidak’ mampu menghentikan kitaran buli dan menyelamatkan seseorang daripada terus menjadi mangsa," ujarnya.

Bangkit menentang buli di SMK Bukit Gambir
Lawatan kedua bagi kempen ini diteruskan pada 9 Disember di SMK Bukit Gambir, melibatkan hampir 300 pelajar Tingkatan Dua dan Tingkatan Tiga.
Kempen berkenaan memberi penekanan terhadap tanggungjawab dan keberanian pelajar untuk bangkit menentang buli, selain memupuk kesedaran bahawa setiap individu mempunyai peranan penting dalam mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat dan sejahtera.

Guru Bimbingan dan Kaunselingnya, Norhikmah Mohaidin berkata, program seperti ini wajar diteruskan kerana ia membantu pelajar memahami dengan lebih jelas bentuk-bentuk perlakuan buli serta peranan masing-masing dalam pelan tindakan sekolah bagi membendung isu tersebut.
"Apabila pelajar mula menyedari tanggungjawab mereka sebagai pihak ketiga yang mampu mengubah keadaan, usaha pihak sekolah untuk mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan bebas buli menjadi lebih mudah dan berkesan.
"Kesedaran ini amat penting kerana pencegahan buli memerlukan kerjasama semua pihak," katanya.

Aktiviti interaktif di SMJK Phor Tay
Hari terakhir sesi lawatan sekolah bagi kempen #BeraniSayNo telah berlangsung pada 10 Disember di SMJK Phor Tay, yang menghimpunkan lebih 529 pelajar merangkumi sesi pagi dan petang.
Sepanjang program, para pelajar berpeluang menyertai pelbagai aktiviti interaktif yang direka untuk memupuk kerjasama dalam kumpulan, sambil membina empati dan kemahiran menyelesaikan konflik secara aman.
Aktiviti seperti ini turut membantu pelajar memahami peranan mereka dalam mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat dan harmoni.
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Sim Suan Wee meluahkan rasa bangga terhadap semangat tinggi yang ditunjukkan oleh para pelajar sepanjang menyertai kempen anti-buli ini.

"Program ini sangat bermakna dan memberi pelbagai maklumat berguna kepada murid.
"Dengan aktiviti seperti ceramah, permainan interaktif dan melukis poster, murid-murid tidak berasa jemu sepanjang program berlangsung. Saya berharap program seperti ini dapat melibatkan lebih ramai murid pada masa hadapan," jelasnya.
Kempen #BeraniSayNo menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya SDG 3 (Kesihatan dan Kesejahteraan Baik), SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 10 (Mengurangkan Ketidaksamaan) dan SDG 16 (Keamanan, Keadilan dan Institusi Kukuh).

Dengan memupuk ketahanan emosi, menggalakkan perbualan inklusif dan mempromosikan persekitaran sekolah yang lebih selamat, kempen ini mengetengahkan perubahan besar yang boleh tercetus apabila golongan muda dididik, disokong dan dibimbing untuk saling mengambil berat antara satu sama lain.
Kejayaan kempen ini mencerminkan kerjasama erat antara USM, sekolah-sekolah terlibat, PDRM, Befrienders Pulau Pinang, para guru, kaunselor serta yang paling utama, keberanian dan empati para pelajar yang terus memacu pergerakan #BeraniSayNo ke hadapan.
Ringkasan AI
- Kempen Anti Buli #BeraniSayNo telah dijalankan di tiga sekolah menengah di Pulau Pinang
- Dianjurkan oleh U.N.M.U.T.E di bawah Universiti Sains Malaysia untuk meningkatkan kesedaran mengenai buli
- Lebih 1,000 pelajar terlibat dalam aktiviti interaktif termasuk ceramah oleh PDRM dan Befrienders
- Inisiatif ini mendorong pelajar menjadi 'upstander' dan mempromosikan persekitaran sekolah yang selamat
- Pengalaman kempen ini mempersiapkan pelajar universiti dengan kebolehan melaksanakan kempen strategik di dunia nyata