Pelajar SMK Datuk Abdullah bersama mahasiswa UiTM Kampus Rembau.
Pelajar SMK Datuk Abdullah bersama mahasiswa UiTM Kampus Rembau.

Alam University Awaits pelawa pelajar masuk IPT

NURUL NISHA MOHD SHAH
04 Jul 2024 07:30am
A
A
A

Seramai 105 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Abdullah mengikuti Program Alam University Awaits anjuran pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan Kampus Rembau yang mengambil kursus kokurikulum HPD 239: Asas Fasilitator II.

Julung kalinya program ini diadakan bertujuan memberikan pendedahan awal kepada para pelajar sekolah menengah tentang kepentingan melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti, memandangkan kini ramai pelajar menolak untuk menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi.

Menurut penasihat program, Nurul Nisha, program sehari ini merangkumi pelbagai aktiviti menarik seperti ceramah motivasi, perkongsian pengalaman oleh mahasiswa UiTM, sesi soal jawab dan permainan interaktif dengan para pelajar.

"Kami mahu membuka minda pelajar sekolah tentang peluang melanjutkan pelajaran ke universiti dan kelebihan menjadi seorang graduan. Keadaan ini amat penting bagi masa depan mereka dan pembangunan negara," katanya.

Para pelajar sekolah sangat bersemangat dan teruja dengan setiap aktiviti yang dilaksanakan bersama dengan fasilitator dari UiTM Kampus Rembau.

Melalui program ini, pelajar dapat mengenali potensi diri mereka dan meningkatkan keyakinan untuk berjaya.

Mereka juga dapat menyemai sikap kepimpinan dan kemahiran komunikasi dalam kalangan pelajar yang amat penting apabila melanjutkan pelajaran ke universiti kelak.

Seorang peserta, Alia Ardini Asni, pelajar tingkatan 4, berkata program ini membuka mindanya tentang pelbagai jurusan yang ada di universiti.

"Program ini telah menarik perhatian saya tentang jurusan dan kursus yang ditawarkan di universiti," ujarnya.

Bagi ketua projek Program Alam University Awaits pula, penganjuran program ini memberi peluang kepada pelajar UiTM untuk mengaplikasikan ilmu yang telah dipelajari dalam kelas pada situasi sebenar.

“Ia satu pengalaman berharga yang dapat meningkatkan kemahiran insaniah kami,” katanya.

Program Alam University Awaits ini merupakan sebahagian daripada inisiatif pelajar UiTM untuk membangunkan masyarakat setempat khususnya melalui perkongsian ilmu.

Ia juga adalah platform bagi pelajar UiTM mempraktikkan kemahiran fasilitator yang dipelajari dalam kursus HPD239.

Maklumat Penulis

Pensyarah, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Rembau, Nurul Nisha Mohd Shah

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok