Calon SPM teruja terima kit peperiksaan lengkap
Sumbangan Kit Peperiksaan yang mengandungi set lengkap alat tulis, kalkulator dan set geometri ternyata menceriakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meranti yang sedang menghadapi peperiksaan berkenaan.
Mereka teruja menerima kit yang menjadi pelengkap semangat untuk memasuki dewan peperiksaan nanti.
Kit Peperiksaan itu disampaikan Pengerusi Rural Capital Berhad, Noor Hariri Mohamed Noor.
Hadir sama, Pengetua SMK Meranti, Mohamad Razuki Derahman.
Farah Krisytina Wan Ayub, 17, mengakui gembira apabila menerima kit berkenaan yang dianggap istimewa sebagai persediaan menghadapi peperiksaan penting itu.
Anak tunggal itu yang berada di kelas perakaunan juga berharap akan mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan.
"Skor saya untuk SPM ialah 6A termasuk mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Pendidikan Seni Visual," katanya.
Sementara itu, Danish Yusra Che Yusoff, 17, pula teruja untuk menggunakan peralatan baharu itu.
Calon SPM aliran Sains itu berkata, set alat tulis yang diterima itu sangat bermanfaat dan menjadi sokongan kepada calon SPM.
"Saya pun sudah bersedia untuk memasuki dewan peperiksaan dan berharap dapat menjawab soalan dengan baik," katanya.
Sementara itu, Noor Hariri berkata, kit yang disumbangkan oleh Yayasan Pelajaran Mara tajaan CelcomDigi untuk 600 calon peperiksaan membabitkan lima buah sekolah menengah di seluruh Parlimen Pasir Mas.
Jelas beliau, nilai keseluruhan kit yang disumbangkan kepada calon SPM yang kebanyakannya dalam kategori B40 ialah RM45,000.
Katanya lagi, dalam pertemuan bersama calon terbabit, beliau turut memberi penerangan mengenai peluang yang boleh diikuti selepas menerima keputusan SPM.
"Ia juga merupakan pendedahan awal supaya mereka menjaga jati diri dan tidak terpengaruh dengan perkara negatif jika mahu berjaya," katanya.