

Ganjaran kehadiran penuh: Pelajar SMK Munshi Abdullah lawat Karangkraf
Bagi 81 pelajar Tingkatan 3 dan 4 SMK Munshi Abdullah, Batu Berendam, Melaka, hari itu bukan sekadar lawatan sambil belajar, sebaliknya ia adalah hadiah istimewa atas disiplin dan komitmen mereka hadir ke sekolah tanpa culas sepanjang tahun.
Senyuman, keterujaan dan rasa bangga jelas terpancar ketika mereka melangkah masuk ke Kompleks Karangkraf Sdn Bhd, sebuah destinasi yang selama ini hanya mereka kenali melalui bahan bacaan.
Lawatan ini merupakan inisiatif Pengetua, Ramli Abdullah, yang mahu menghargai pelajar berdisiplin tinggi dengan pengalaman dunia sebenar.
Daripada 160 pelajar yang mencatat kehadiran penuh, kumpulan ini adalah yang pertama, manakala dua lagi bas akan menyusul pada 3 Disember nanti sebagai sambungan ganjaran berkenaan.


Menurut guru pengiring, Cikgu Tuan Mohd Hafizudin Tuan Seman, ganjaran ini telah diumumkan sejak pertengahan tahun tetapi butirannya dirahsiakan bagi mencipta elemen kejutan buat pelajar. Matlamat sekolah jelas mengiktiraf usaha dan memastikan pelajar memahami nilai hadir ke sekolah setiap hari.
Cikgu Ramli sendiri sentiasa mengingatkan bahawa setiap hari di sekolah adalah peluang menimba ilmu.
“Datang ke sekolah, kamu timba ilmu. Jika kamu terlepas sehari tidak datang sekolah, sehari kamu terlepas ilmu yang cikgu ajar,” pesannya yang sering menjadi pembakar semangat.
Dalam lawatan itu, pelajar diberi pendedahan mengenai operasi media dan percetakan sambil melihat sendiri bagaimana dunia penerbitan berfungsi. Mereka juga berpeluang menjelajahi ruang kreatif Karangkraf yang selama ini hanya mereka lihat dalam talian.
Selain sebagai penghargaan, pengalaman ini diharap dapat membuka mata pelajar terhadap kerjaya dalam industri kreatif, media dan penerbitan, serta menjadi pemangkin untuk mereka terus kekal berdisiplin dalam pelajaran.
Ringkasan AI
- Bagi 81 pelajar Tingkatan 3 dan 4 SMK Munshi Abdullah, Batu Berendam, Melaka, lawatan ke Kompleks Karangkraf merupakan hadiah untuk kehadiran penuh sepanjang tahun
- Lawatan dianggap sebagai penghargaan oleh Pengetua, Ramli Abdullah, bagi pelajar yang berdisiplin tinggi
- Sebanyak 160 pelajar mencatat kehadiran penuh, tetapi hanya satu kumpulan pertama yang melawat dulu
- Ganjaran ini telah diumumkan awal tetapi butirannya dirahsiakan untuk mencipta kejutan
- Lawatan memberi pendedahan tentang operasi media dan percetakan, juga sebagai dorongan untuk berkarier dalam industri kreatif