
Guru & pelajar SMK Puteri Ampang raih pencapaian luar biasa di WYSII 2025!
Dua guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri Ampang, Kuala Lumpur berjaya meraih anugerah dalam sebuah pertandingan inovasi yang melibatkan penyertaan 32 negara dari seluruh dunia.
Pencapaian yang dirangkul Cikgu Amirudin Razali dan Cikgu Hadilah Abdul Hamid menerusi World Youth STEM Invention Innovation (WYSII) 2025 di Medan, Indonesia Februari lalu membuktikan bahawa bakat dari Malaysia mampu bersaing di arena antarabangsa.
SMK Puteri Ampang dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan, Cikgu Amirudin diumum pemenang Anugerah Guru Antarabangsa WYSII 2025.
Ia merupakan pengiktirafan diberikan kepada guru-guru yang menunjukkan kecemerlangan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Cikgu Hadilah pula tersenarai lima penerima terbaik Anugerah Kepimpinan Antarabangsa WYSII 2025 iaitu anugerah diberikan kepada individu yang menunjukkan kepimpinan unggul dalam mempromosikan inovasi dan pendidikan STEM di peringkat global.
Pengiktirafan tersebut mencerminkan dedikasi dan komitmen beliau terhadap bidang pendidikan khususnya dalam memajukan inovasi serta pembelajaran STEM.
Selain kejayaan guru, SMK Puteri Ampang turut merangkul 11 anugerah emas, lima anugerah perak dan empat anugerah khas di WYSII 2025.

Pasukan Glow Body Bliss, Foamietabs, Glowtera Balm, Social Ease Buddy, STEMSphere, Artison, Lumescent, Saltivive, Zhuzhi Noodles, M-Temiz dan Mindbloom diumum penerima anugerah emas.
Seterusnya, Booknest, SYNC2U, Ecocrete, Sober Air dan Lens Insight meraih anugerah perak dalam pertandingan sama.
"Kejayaan pasukan inovasi SMK Puteri Ampang bukan sekadar pencapaian biasa sebaliknya ia adalah satu manifestasi kecemerlangan wakil Puteri Ampang di pentas global.
"Semoga kejayaan ini menjadi obor perjuangan dalam membangunkan minda inovatif dan melahirkan lebih ramai bakat muda dalam bidang STEM yang berkualiti," catat Facebook itu.

Untuk info, WYSII 2025 adalah sebuah acara antarabangsa yang dianjurkan Malaysia Young Scientists Organisation (MYSO) untuk mempamerkan ciptaan dan inovasi dalam bidang STEM oleh belia seluruh dunia.
Penyertaan dalam WYSII 2025 bukan sahaja memberi peluang kepada belia mempamerkan inovasi mereka tetapi juga untuk berinteraksi dengan rakan sebaya dari pelbagai negara, memperluas jaringan dan meningkatkan pengetahuan mengenai STEM.
