Inspirasi kembara ilmu di Sabah
Kelab TV Pusat Sumber Sekolah (PSS) Az-Zarnuji Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 9 (2) menyertai Kembara Ilmu Ini Khazanah Kita di Stesen Tanjung Aru, Kota Kinabalu, Sabah, baru-baru ini.
Menurut guru pengiring, Nurafidah Mohd Khalid, undangan itu memberi inspirasi dan motivasi kepada pelajar termasuk pendedahan kepada kaedah pembelajaran yang berbeza dan peluang belajar daripada pakar dalam bidang tertentu.
Malah, program itu juga memberi pengalaman sebenar kepada kru TV PSS membuat rakaman video dan mengambil gambar dalam acara berprestij.
Kata Nurafidah, peserta juga dapat mengetahui pelbagai budaya dan adat resam Sabah, berkomunikasi dengan orang luar sekali gus memberi kenangan terindah ketika menaiki kereta api.
“Program tiga hari dua malam ini menambahkan keyakinan dan keberanian pelajar dalam menggalas tugas sebagai kru TV PSS.
“Mereka tidak pernah keluar dari Putrajaya, jadi bila terpilih menyertai program sebegini sudah tentulah sangat teruja dan tidak sabar meneroka pengetahuan baharu dan mengembangkan potensi diri,” katanya kepada Sinar Bestari.
Nurafidah berkata, lima pelajarnya iaitu Siti Nur Izzaty Shahadah Mohd Hafiz, Nur Syakirah Shahrul Azmee, Muhammad Hamiz Hilman Noraida, Luth Zidane Abu Bakar dan Muhammd Imtiyaaz Fakhrullah Anuar serta Nur Shidah Rasli selaku guru pengiring berusaha menyusun gambar dan menyiapkan rakaman video untuk diserahkan kepada Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).
“PNM ada bertanyakan kepada saya tentang hasil kerja kru TV PSS sepanjang mengikuti kembara di Sabah. Mereka berhasrat untuk menghantar video kami kepada Kementerian Perpaduan Negara (KPN).
“Sangat terkejut dengan permintaan mereka. Bagaimanapun, ini adalah peluang dan penghargaan terbaik untuk pelajar ketengahkan kemahiran masing-masing. Mana tahu, suatu hari nanti kru TV PSS Az-Zarnuji menjadi wartawan dan jurukamera terkenal kelak,” jelasnya.
Terdahulu, Kembara Ilmu Ini Khazanah Kita yang dianjurkan KPN menerusi PNM dengan kerjasama Perpustakaan Negeri Sabah (PNS), Jabatan Kereta Api Negeri Sabah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Sutera Harbour Resort bertujuan menggalakkan minat membaca dalam komuniti setempat selain mempromosikan program galakan membaca dengan pelbagai platform untuk masyarakat di Sabah.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang yang menyempurnakan majlis itu berkata, menerusi pameran berkenaan, orang ramai boleh menyaksikan bagaimana teknologi digunakan untuk memperkayakan pengalaman pembelajaran.
“Penggunaan teknologi realiti maya (VR) dan realiti tambahan (AR) dalam pameran ini telah memberikan pengalaman luar biasa kepada pengunjung terutama generasi muda,” ujarnya.