Cikgu Mohamad (tiga dari kiri) bersama para guru dan wakil PIBG SAMTTAJ ketika melancarkan Karnival Cinta Rasul, Hari Koperasi Sekolah dan tabung infaq Jumaat baru-baru ini.
Cikgu Mohamad (tiga dari kiri) bersama para guru dan wakil PIBG SAMTTAJ ketika melancarkan Karnival Cinta Rasul, Hari Koperasi Sekolah dan tabung infaq Jumaat baru-baru ini.

Karnival Cinta Rasul SAMTTAJ terap ciri usahawan zaman Rasulullah SAW

02 Oct 2023 10:52am

Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah (SAMTTAJ), Shah Alam, Selangor turut mengadakan Hari Koperasi Sekolah semasa sambutan Hari Maulidur Rasul peringkat sekolah baru-baru ini bagi menerapkan ciri-ciri usahawan yang diamalkan sewaktu zaman Rasulullah SAW.

Menurut Pengetua SAMTTAJ, Mohamad Noor Ismail, program berkenaan merupakan kerjasama antara SAMTTAJ serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

"Adalah lebih baik jika sambutan ini dipelbagaikan dengan acara lain seperti pameran, berniaga dan bersukan agar pelajar lebih bersemangat meraikannya.

“Justeru, bersempena hari kelahiran Nabi Muhammad SAW, pihak sekolah membawa konsep berbeza dengan tidak memfokuskan program berbentuk ceramah sahaja, sebaliknya turut mengadakan aktiviti-aktiviti lain.

“Tujuan utama sambutan ini disekalikan dengan Hari Koperasi Sekolah adalah untuk memupuk ciri-ciri usahawan seperti Rasulullah iaitu jujur, bertanggungjawab dan amanah,” katanya selepas majlis perasmian Karnival Cinta Rasul dan Hari Koperasi Sekolah baru-baru ini.

Cikgu Mohamad (tiga dari kiri) bersama guru dan wakil PIBG SAMTTAJ ketika melancarkan Karnival Cinta Rasul, Hari Koperasi Sekolah dan tabung infaq Jumaat baru-baru ini.
Cikgu Mohamad (tiga dari kiri) bersama guru dan wakil PIBG SAMTTAJ ketika melancarkan Karnival Cinta Rasul, Hari Koperasi Sekolah dan tabung infaq Jumaat baru-baru ini.

Beliau berkata, konsep tersebut turut mendapat sambutan daripada pelajar kerana ramai antara mereka menunjukkan minat untuk berniaga.

Menurutnya, pihak sekolah membuka ruang dan peluang kepada mereka yang mahu menceburi bidang keusahawanan secara langsung dengan membuka gerai pada Hari Koperasi tersebut.

Artikel Berkaitan:

Cikgu Mohamad berkata, karnival tersebut turut diserikan dengan forum mahabbah, qasidah dan konsert nasyid.

"Karnival Cinta Rasul dan Hari Koperasi Sekolah telah diadakan selama dua hari bermula 22 hingga 23 September lalu. Mereka yang menyertai Malam Cinta Rasul dan konsert nasyid, dikenakan bayaran tiket amal berjumlah RM10 bagi dewasa dan RM5 (12 tahun ke bawah).

“100 peratus hasil jualan tiket disalurkan ke tabung dana pengimarahan program di SAMTTAJ dan digunakan untuk menampung kos penganjuran majlis. Secara tidak langsung, pengunjung dapat beramal jariah melalui pembelian tiket dan berpeluang mendapat hadiah cabutan bertuah.

Reruai jualan baju terpakai merupakan antara gerai yang dibuka pada Karnival Cinta Rasul dan Hari Koperasi SAMTTAJ.
Reruai jualan baju terpakai merupakan antara gerai yang dibuka pada Karnival Cinta Rasul dan Hari Koperasi SAMTTAJ.

“Sementara forum mahabbah (Habibuna Ya Rasulallah) dan qasidah pula, kita menampilkan ahli agamawan terkenal iaitu Habib Mahdi Abu Bakar Al-Hamid serta Nazrie Abbas,” katanya.

Tambah beiiau, karnival juga menyediakan aktiviti menarik seperti zoo mini dan pameran reruai daripada agensi pendidikan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp