Cikgu Azharizah bersama murid pendidikan khas bagi sesi penyediaan roti.
Cikgu Azharizah bersama murid pendidikan khas bagi sesi penyediaan roti.

Kejayaan sebenar guru pendidikan khas cukup hanya lihat murid mampu uruskan diri

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
03 Jul 2023 09:16am

Sebagai guru pendidikan khas, melihat anak murid mampu menguruskan diri sendiri dan meneruskan kehidupan sudah memadai walaupun tidak memakai sehelai jubah dan topi graduasi di peringkat pendidikan tinggi.

Ini kerana kerjaya sebagai guru pendidikan khas tidak memfokuskan untuk menghabiskan silibus sesuatu subjek sama seperti arus perdana tetapi lebih mengutamakan kemahiran agar murid-murid mampu berdiri sendiri tanpa mengharapkan bantuan orang lain.

Itu antara pendapat yang dilontarkan Penolong Kanan Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Unjur, Klang, Selangor, Azharizah Saimi.

Beliau yang telah berkhidmat dalam bidang yang penuh mencabar ini selama 25 tahun memberitahu, kejayaan sebenar seorang guru pendidikan khas tidak dinilai dengan melihat anak didik menyambung pengajian ke peringkat ijazah tetapi mahu menyaksikan mereka mampu menjana pendapatan sendiri dan meneruskan kehidupan.

Cikgu Azharizah mengajar murid pendidikan khas kemahiran dekorasi bunga hiasan.
Cikgu Azharizah mengajar murid pendidikan khas kemahiran dekorasi bunga hiasan.

“Sebagai guru pendidikan khas, kami perlu kreatif dan inovatif menjana idea baharu bagi membantu murid-murid ini supaya tidak terus ketinggalan walaupun dikategorikan sebagai murid istimewa.

“Ini kerana murid pendidikan khas perlu bimbingan yang betul agar mereka mampu meraih kejayaan sama seperti murid lain,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Ketika ditanya mengenai pengalaman sebagai guru pendidikan khas, Cikgu Azharizah menceritakan dia pernah berdepan dengan seorang murid yang tidak mahu hadir ke sekolah.

Artikel Berkaitan:

Pelbagai cara dan kaedah sudah dilakukan bagi memastikan murid tersebut hadir ke sekolah namun ia menemui jalan buntu.

Walaupun begitu, ada satu sisi murid ini di mana dia amat meminati hal berkaitan pembaikan motosikal.


Cikgu Azharizah dalam kelas menjahit bersama murid pendidikan khas.
Cikgu Azharizah dalam kelas menjahit bersama murid pendidikan khas.

“Melihat kepada minat dan kecenderungan murid tersebut, saya dan pihak sekolah mengambil inisiatif bekerjasama dengan sebuah bengkel motosikal.

“Jadi kehadirannya ke sekolah dikira dengan hadirnya dia ke bengkel tersebut dan Alhamdulillah sekarang dia sudah diterima bekerja di bengkel yang sama,” ujarnya.

Bukan itu sahaja, dengan sebak guru cemerlang pendidikan khas itu memberitahu, melihat anak murid yang dahulunya tidak tahu membaca apatah lagi menulis kini sudah mampu membina perniagaan sendiri malah ada di antara mereka yang menghantar jemputan kahwin adalah satu pencapaian yang hebat dan bermakna.



Pencapaian Cikgu Azharizah

Guru Cemerlang (2009)

Penyelaras Program Pendidikan Khas Integrasi (2013 hingga 2019)

Penolong Kanan Pendidikan Khas (2019 hingga kini)

Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (2005 dan 2015)

Anugerah Guru Cemerlang Pendidikan Khas Negeri Selangor (2019)

Anugerah Penolong Kanan Cemerlang Pingat Gangsa (2002)

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp