Kesusahan hidup tidak halang Siti Nurfaizah raih 8A+ dan 1A SPM 2023
Melihat pengorbanan bapa yang hanya bergantung kepada pendapatan menjual makanan di gerai tepi jalan untuk menyara keluarga, membuatkan seorang pelajar tekad mengubah nasib mereka dengan belajar bersungguh-sungguh bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.
Usahanya itu akhirnya membawa hasil apabila Siti Nurfaizah Bacho dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekan Telipok, Tuaran, Sabah memperoleh keputusan yang cemerlang iaitu 8A+ dan 1A dalam SPM.
Menurut Siti Nurfaizah, mujurlah dia antara penerima biasiswa dan wang itu digunakan membeli keperluan untuk belajar.
"Ibu saya hanya suri rumah manakala bapa pula berniaga menjual makanan di gerai. Tetapi walaupun keluarga saya susah namun ibu bapa sentiasa cukupkan keperluan kami termasuk dua kakak yang belajar di universiti kini.
"Alhamdulillah juga, saya turut mendapat bantuan Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP) jadi setiap bulan saya boleh keluarkan wang untuk beli peralatan diperlukan," katanya.
Siti Nurfaizah berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima anugerah pada Majis Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan SPM 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Khamis.
Tambah Siti Nurfaizah lagi, dia berhasrat menyambung pengajian dalam program Asasi Sains di universiti atau matrikulasi.
"Kalau dapat Asasi, saya akan sambung Asasi Sains Fizikal dan bercita-cita menjadi pensyarah," katanya.
Sementara itu, diminta berkongsi tip belajar, Siti Nurfaizah berkata, dia lebih banyak membuat ulang kaji pada waktu petang selepas tamat waktu persekolahan.
"Saya selalunya akan belajar pada waktu selepas sekolah. Saya juga menggunakan satu aplikasi menetapkan waktu belajar sebagai motivasi untuk berjaya," katanya.