KPM terima penyerahan tiga projek SSAS
Projek naik taraf trek sintetik, astaka dan padang bola sepak Sekolah Sultan Alam Shah (SSAS) yang selesai pembinaannya diserahkan secara rasmi kepada Kementerian Pendidikan pada Khamis.
Penyerahan projek yang menelan belanja RM9 juta itu dilakukan wakil Jabatan Kerja Raya selaku agensi pelaksana projek kepada Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan dengan disaksikan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pada Majlis Jalinan Mesra Aidilfitri KPM di sini.
KPM dalam kenyataan memaklumkan skop projek itu melibatkan penaiktarafan padang sedia ada daripada jenis rumput asli kepada rumput sintetik.
Projek itu juga menggantikan trek sintetik sedia ada dan menjadikan ia projek pertama di Putrajaya dan Sekolah Berasrama Penuh (BSP) yang mendapat pengiktirafan dua badan sukan antarabangsa iaitu International Rugby Board (IRB) dan Federation of Internationale Football Federation (FIFA).
Projek tersebut telah diluluskan di bawah peruntukan pembangunan KPM memandangkan permukaan padang yang tidak lagi kondusif dan permukaan trek yang merisikokan kecederaan kepada murid.
"Dengan adanya kemudahan sukan yang terkini di SSAS, KPM berharap ia dapat memberi manfaat kepada murid-murid di SSAS dan dapat digunakan untuk penganjuran kejohanan di peringkat Putrajaya, kebangsaan dan antarabangsa," demikian menurut kenyataan tersebut.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SSAS, Datuk Seri Reezal Merican Naina Marican ketika ditemui berharap agar projek berkenaan yang dimulakan sejak 2017 itu menjadi suntikan semangat kepada 880 pelajar SSAS dan guru untuk terus mencapai kejayaan dari segala aspek.
"Saya usahakan ini kerana SSAS adalah showcase school, maknanya kalau ada dalam kalangan mereka datang dari luar negara untuk melihat, maka sekolah ini jadi tatapan.
"Tentulah kualitinya perlu ditingkatkan, ditambahkan pula pencapaian anak-anak di sekolah ini berada pada paras membanggakan," katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut meluangkan masa kira-kira 40 minit menyantuni warga KPM pada majlis itu. - Bernama