
Pelajar kanser limfoma SMK Bachok raih keputusan cemerlang SPM 2024
"Saya pernah terfikir tidak sempat menduduki SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dan akan meninggal dunia selepas disahkan menghidap kanser pada Mac 2023."
Demikian luahan Mohamed Adam Baihaqi Mohamed Zadro, 19, yang muncul sebagai pelajar terbaik SPM Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bachok, Kelantan selepas memperoleh semua A walaupun jarang hadir ke kelas kerana perlu berulang alik ke hospital bagi mendapatkan rawatan selain pernah tidak hadir selama setahun.
Anak kelahiran Kampung Telok itu bagaimanapun tidak pernah menjadikan alasan gagal ke sekolah selain perlu bertarung dengan kanser dan mengikuti enam kemoterapi sehingga gugur rambut untuk melemahkan semangatnya.
"Selepas terpaksa ponteng sekolah selama setahun kerana perlu fokus kepada rawatan di HRPZ II (Hospital Raja Perempuan Zainab II), melihat rakan-rakan sekelas sudah menduduki SPM dan menyambung belajar, pada waktu itu saya rasa sangat sedih," katanya.
Menurut Mohamed Adam Baihaqi, pada Julai 2024 dia disahkan bebas kanser dan diberi peluang untuk hadir ke sekolah serta menduduki peperiksaan SPM.
Katanya, dari situlah dia mula menanam azam untuk berjaya dalam SPM dan meraih keputusan cemerlang sekali gus mengejar cita-cita untuk menjadi seorang guru.
Mohamed Adam Baihaqi berkata, setiap hari dia mengulang kaji dengan penuh fokus sambil memikirkan pengorbanan ayahnya, Mohamed Zadro Mohd Salleh, 50, seorang peniaga santan dan ibunya, Suzila Abdullah, 47, seorang suri rumah yang tidak berkira soal rawatannya.
"Untuk mengubati kanser perlukan wang yang banyak, ayah dan ibu hanya bekerja biasa. Bagaimanapun mereka sanggup buat apa sahaja untuk saya, dari situlah semangat untuk mengulangkaji bersungguh-sungguh hadir.
"Alhamdulillah, rakan-rakan serta guru-guru banyak membantu sehingga saya berjaya memperoleh semua A dalam tujuh mata pelajaran yang diambil iaitu Bahasa Melayu (A-), Sejarah (A-), Matematik (A), Bahasa Inggeris (A), Geografi (A), Pendidikan Islam (A), dan Sains (A)," tambahnya.
Menurutnya, dia berhasrat untuk menyambung pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) dan kejayaannya dalam SPM ini merupakan hadiah untuk ayah, ibu dan semua yang menyokong.
Dia memberitahu, ramai yang tidak menyangka kejayaannya ini, namun ia telah dibuktikan dengan usaha, doa serta reda dengan ketentuan ALLAH SWT.
"Setiap ujian yang diberikan bukan halangan untuk kita berjaya. Apa yang penting, jaga hubungan baik dengan ALLAH, ibu bapa, guru serta rakan-rakan," ujarnya.