Pelajar kudung tangan, kaki tapi cemerlang SPM
Tiada apa yang mustahil dan kekal positif dalam kehidupan walaupun serba kekurangan.
Itu motivasi dan kata-kata semangat yang dipegang seorang penerima Anugerah Inspirasi dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2023 Negeri Johor, yang kudung kedua-dua belah tangan dan kaki kiri.
How Xue Qi, 18, berkata, kekurangan dimilikinya bukan satu halangan untuk berjaya dalam pelajaran malah enggan sedih dengan nasibnya itu sebaliknya terus pandang ke hadapan.
Anak sulung daripada empat beradik tersebut lebih gemar menumpukan perhatian kepada pelajaran dan minat seninya.
"Saya sangat gembira kerana mendapat anugerah ini. Pada SPM lalu, saya lulus semua subjek dan mendapat A bagi subjek Pendidikan Seni Visual.
"Saya memang minat dengan subjek seni, sejak kecil lagi saya sudah mula melukis dan mewarna menggunakan kaki kiri, saya juga masih ada menyimpan beberapa hasil lukisan semasa kecil dahulu.
"Saya juga bercita-cita untuk menjadi seorang pereka dalaman pada masa depan," katanya yang kini menyambung pelajaran ke Tingkatan Enam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Daya, Johor Bahru, Johor.
Dia merupakan seorang daripada pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dan menerima anugerah dalam majlis tersebut yang berlangsung di KSL Hotel and Resort, Johor Bahru pada Ahad.
Dalam majlis berkenaan, seramai 60 pelajar yang mendapat keputusan cemerlang SPM 2023 diberikan anugerah yang disampaikan Exco Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin.
Xue Qi berkata, dia amat berterima kasih dengan sokongan diberikan ahli keluarga terutama ibu dan bapa yang sentiasa memberikan galakan supaya meneruskan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
"Selain guru dan rakan-rakan, kembar saya iaitu How Xue Thing, 18, juga banyak membantu proses pembelajaran sepanjang berada sekolah. Malah, dia juga banyak membantu saya mengangkat beg sekolah," jelasnya.
Xue Qi turut menasihati mana-mana individu yang terdiri dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) agar tidak terlalu memandang kekurangan fizikal dihadapi sebaliknya sentiasa ceria menempuh kehidupan.
Sementara itu, seorang lagi penerima anugerah kecemerlangan bagi calon Orang Asli, Anna Maria Ahmad, 18, yang sebelum ini belajar di SMK Taman Rinting 2, Masai, Johor bercita-cita menjadi peguam pada masa depan.
"Saya menanam hasrat untuk menjadi peguam setelah melihat satu isu pertikaian melibatkan undang-undang di kawasan penempatan sendiri iaitu di Kampung Orang Asli Kuala Masai," katanya.
Sejak isu itu katanya, dia nekad mahu menjadi peguam bagi memperjuangkan hak dan kebajikan masyarakat Orang Asli dan pada masa sama mahu mengajak lebih ramai Orang Asli menuntut ilmu.
"Mungkin sekarang mereka tidak melihat kepentingan pendidikan, tetapi pada masa depan inilah aspek yang akan dapat meningkatkan lagi tahap kualiti kehidupan kita dan keluarga," ujarnya yang mendapat 5A 2B dalam SPM 2023.