
Pelajar SAM Muhammadiah Pekan Sabak berjaya khatam al-Quran. 'Semoga mereka terus istiqamah mendalami ilmu agama' - Warga maya
Kumpulan pelajar Sekolah Agama Menengah (SAM) Muhammadiah Pekan Sabak, Sabak Bernam, Selangor berjaya mengkhatamkan al-Quran dalam tempoh tertentu sekali gus mengharumkan nama sekolah dan menjadi inspirasi kepada rakan-rakan lain untuk turut mendalami ilmu agama.
Syathir Ilmi Syamsul Khafi Ridzuan, Ammar Haziq Mahzame, Saifull Haziem Saifull Harrol dan Ahmad Alwan Mat Nauwar adalah antara pelajar yang telah berjaya menamatkan bacaan al-Quran secara keseluruhan.
Turut serta bersama mereka adalah Muhammad Hafiz Syahmi Mohd Yusri, Ellysha Maisarra Muhamad Rasidi dan Wan Nur Athirah Wan Mohd Azhan.
Kesemuanya pelajar Tingkatan Lima dari kelas Ibnu Sina, Ibnu Arabi dan Ibnu Khaldun.
Difahamkan, mereka yang berjaya menyempurnakan bacaan al-Quran hingga khatam telah menerima bimbingan daripada para murabbi yang pakar dan berpengalaman dalam bidang tahfiz dan tarannum.
Pembimbing yang dimaksudkan terdiri daripada Ustaz Mohd Muazzam Darno, Ustaz Muhammad Fahmi Muhammad Fadzil, Ustaz Amril Syafiq Ahmad, Ustaz Mohamad Faeiz Mohd Shafiee, Ustazah Faizah Ishak dan Ustazah Norfarhanim Mohd Aseri.
Sementara itu, perkongsian mengenai kejayaan para pelajar mengkhatamkan al-Quran yang dimuat naik di laman Facebook rasmi SAM Muhammadiah Pekan Sabak-Official baru-baru ini, telah menarik perhatian ramai pengguna media sosial.
Rata-rata warga maya meluahkan rasa kagum dan bangga dengan usaha serta kesungguhan pelajar dalam menyempurnakan bacaan al-Quran.
Ramai yang turut memberikan komen positif serta mendoakan agar mereka terus istiqamah dalam mendalami ilmu keislaman ini.
Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai pelajar untuk terus berusaha dan menjadikan kitab suci sebagai panduan hidup mereka.