Inovasi Colourguard meraih pingat emas Anugerah Kluster Terbaik bagi Kluster Sains (kategori sekolah menengah) dalam Karnival STEM Kebangsaan baru-baru ini.
Inovasi Colourguard meraih pingat emas Anugerah Kluster Terbaik bagi Kluster Sains (kategori sekolah menengah) dalam Karnival STEM Kebangsaan baru-baru ini.

Pelajar SMK Dato' Ahmad Maher cipta produk kesan pewarna tiruan daripada kubis unggu

21 Oct 2025 03:43pm

Tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Ahmad Maher, Kota Bharu, Kelantan membuktikan kreativiti dan kebijaksanaan mereka apabila berjaya mencipta Colourguard, satu inovasi berasaskan kubis ungu yang mampu mengesan kehadiran pewarna tiruan dalam makanan dan minuman.

Dibangunkan hanya dalam masa seminggu, Colourguard menggunakan air rebusan kubis ungu yang kaya dengan pigmen semula jadi antosianin.

Bahan itu bertindak sebagai penunjuk pH semula jadi dan berubah warna apabila bertindak balas dengan bahan kimia tiruan dalam makanan atau minuman yang diuji.

Ketua kumpulan projek, Muhammad Ameer Jamaludin, 15, berkata, idea tersebut timbul selepas mereka mengetahui kesan buruk pewarna tiruan terhadap kesihatan termasuk risiko penyakit buah pinggang dan masalah hiperaktif dalam kalangan kanak-kanak.

"Cara gunanya sangat mudah. Letakkan sampel makanan pada kapas atau kain putih, kemudian titiskan larutan Colourguard dan tunggu kira-kira 30 hingga 40 saat.

"Jika ada pewarna tiruan, warna akan berubah mengikut tahap pH bahan tersebut," katanya ketika ditemui selepas majlis penutupan Festival of Idea @ Kelantan (FOI@Kelantan) 2025 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Inovasi itu turut meraih pingat emas Anugerah Kluster Terbaik bagi Kluster Sains (kategori sekolah menengah) di Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Kebangsaan yang disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.

Artikel Berkaitan:

Dua lagi ahli kumpulan tersebut ialah Muhammad Aiman Hakim Najeli dan Syed Adheem Syed Khairudin, masing-masing berusia 15 tahun.

Menurut Muhammad Ameer, mereka turut menguji bahan semula jadi lain seperti bunga telang dan anggur, namun mendapati kubis ungu lebih murah, mudah diperoleh dan memberikan perubahan warna yang lebih jelas.

"Buat masa ini, larutan Colourguard belum tahan lama pada suhu bilik, jadi kami sedang merancang untuk menambah baik formulasi dan meneroka proses paten bagi melindungi hak cipta produk ini," katanya. - Bernama 

 

 

Ringkasan AI

  • Tiga pelajar SMK Dato' Ahmad Maher, Kota Bharu, Kelantan mencipta Colourguard, pengesan pewarna tiruan dalam makanan menggunakan kubis ungu
  • Colourguard bertindak sebagai penunjuk pH semula jadi dan mengesan pewarna tiruan melalui perubahan warna
  • Projek ini diilhamkan oleh kesedaran tentang bahaya pewarna tiruan terhadap kesihatan
  • Inovasi ini menggunakan cara pengujian yang mudah dengan menitiskan larutan pada sampel makanan dan menunggu perubahan warna
  • Colourguard memenangi pingat emas di Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Kebangsaan
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp