Muhamad Adam Aizad menerima segala yang ditakdirkan (diuji kanser tulang) dengan reda dan sabar.
Muhamad Adam Aizad menerima segala yang ditakdirkan (diuji kanser tulang) dengan reda dan sabar.

Pelajar SMK Kuala Krai diuji kanser tulang...'Dulu jaga mak ayah, sekarang mereka pula jaga saya'

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
25 Feb 2025 11:40am

Masihkah anda ingat dengan kisah seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Krai, Kelantan berdikari menjaga kedua-dua ibu bapanya yang sakit tatkala usianya baru 14 tahun ketika itu.

Dalam usia masih muda, Muhamad Adam Aizad Mazlan sanggup berbuat apa sahaja semata-mata ingin melihat bapa, Mazlan Latif, 60, (sakit angin ahmar) dan ibu, Rahayu Daud, 50, (menderita penyakit buah pinggang tahap lima) sihat seperti sedia kala sekali gus dapat menjalani kehidupan seperti orang lain.

Katanya, dia tidak pernah berasa tertekan untuk menguruskan mereka walaupun perlu membahagikan masa antara belajar dan menyiapkan tugasan sekolah ketika itu.

Terbaharu, Muhamad Adam Aizad telah diberi ujian dan dugaan oleh ALLAH di mana dia didiagnosis menghidap kanser tulang tahap dua pada Jun tahun lalu.

Merupakan pelajar Tingkatan Empat di SMK Kuala Krai, pemuda ini menerima segala yang ditakdirkan dengan reda dan terus kuat serta bersemangat menjalani kehidupan.

Setakat ini, Muhamad Adam Aizad telah menjalani enam sesi kemoterapi di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian, Kelantan dan dijadualkan menjalani pembedahan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) pertengahan Mac depan bagi menggantikan tulang peha yang bengkak dengan besi.

"Saya reda dengan penyakit ini malah ibu dan ayah turut menjadi penguat semangat untuk saya melawan rasa sakit.

"Dari segi pelajaran, saya tetap bersemangat demi memenuhi impian untuk bergelar doktor.

Artikel Berkaitan:

"Justeru, saya berharap supaya diberi kelonggaran untuk mengikuti pembelajaran secara dalam talian kerana tidak mahu tercicir di dalam pelajaran," katanya yang merupakan anak tunggal kepada pasangan Mazlan dan Rahayu.

Sementara itu, Rahayu berkata, dia terkejut dan tidak menyangka anaknya disahkan menghidap kanser tulang tahap dua tahun lalu.

"Sepanjang rawatan (dari Kuala Krai ke HPUSM Kubang Kerian), saya perlu mengeluarkan belanja RM200 untuk kos kereta sewa pergi dan balik.

"Walaupun berhabis wang, saya tidak kisah. Sekarang ini, kesihatan Muhamad Adam Aizad paling penting.

"Saya doakan dia kembali sihat seperti sedia kala," ujarnya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Bank Islam di 03072022201780 atas nama Rahayu Daud atau boleh menghubunginya di talian 019-5806861.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp