Pendidik fokus terajui budaya cemerlang pelajar di sekolah
Kebersamaan dan keharmonian menjadi tunjang keberkesanan dalam mewujudkan suasana harmoni kalangan warga sekolah.
Kecemerlangan dan prestasi setiap pelajar pastinya hadir dalam perancangan yang telah dijalankan oleh pendidik bagi memastikan takwim pembelajaran, pembangunan modal insan dan kokurikulum berjalan lancar.
Bagi memupuk nilai kesempurnaan dalam setiap perancangan sekolah, barisan pentadbir dan pendidik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai, Pasir Gudang, Johor telah berbengkel pada 3 dan 4 Mac lalu di Universiti Kuala Lumpur (UniKL)-Malaysian Institute of Industrial Technology (MITEC) juga di Pasir Gudang, Johor.
Seramai 163 guru menghadiri bengkel yang menyediakan slot memfokuskan kepada gerak kerja pendidik dalam tugas-tugas khas, kurikulum, kokurikulum, hal ehwal murid sekali gus membentangkan penambahbaikan dalam menerajui kecemerlangan pelajar dalam sahsiah dan akademik.
Menurut Pengetua SMK Kota Masai, Cikgu Saridah Abdul Majid, tugas pendidik adalah memastikan setiap pelajar mendapat hak pendidikan sempurna dan menyeronokkan.
“Kecemerlangan pelajar dalam sahsiah dan akademik perlu diberikan keutamaan dalam membangun nilai murni yang dibawa pada setiap pengajaran dan pembelajaran (PdP).
“Peranan guru adalah memastikan setiap pelajar mendapat pendidikan sempurna dan mencapai peningkatan setiap tahun.” katanya.
Ujarnya lagi, pihak sekolah akan sentiasa menyokong program-program yang memberikan impak besar dalam kemenjadian pelajar yang holistik selari dengan visi, misi dan matlamat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Kesimpulannya, peranan guru adalah sangat signifikan, penting dan relevan dalam membangun jiwa anak-anak bangsa.
Ini kerana setiap perancangan dan strategi perlu selari dengan acuan pembangunan pelajar mengikut peredaran semasa.
Di sinilah daya upaya guru sebagai ejen perubahan yang berkesan perlu diarusperdanakan kerana strategi pembangunan negara bukan hanya setakat memfokuskan kepada pembangunan material dan pendidikan semata-mata, tetapi ia harus seiring dengan pendidikan dan pembangunan sahsiah pelajar agar kemajuan dapat dicapai dan dinikmati oleh generasi penerus bangsa.
SMK Kota Masai sentiasa komited dalam menerajui kecemerlangan setiap aspek dan bidang.
Kerjasama antara warga pentadbir, pendidik, ibu bapa, pelajar dan masyarakat pastinya memainkan peranan yang besar membangun ekosistem kondusif dan harmoni serta mencungkil bakat-bakat pelajar selari dengan nilai norma budaya masyarakat berbilang kaum.