
Program Anti-Buli SMK Warisan Puteri bangkitkan kesedaran selepas insiden Zara Qairina
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Warisan Puteri, Seremban di Negeri Sembilan telah menganjurkan Program Anti-Buli sebagai langkah proaktif membendung budaya negatif itu yang semakin membimbangkan dalam kalangan pelajar.
Program tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga Taman Vila Suria, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).
Yang Dipertua PIBG, Mohamad Khairul Mohamad @ Alwi berkata, penganjuran program ini sangat penting susulan peningkatan kes buli bukan sahaja melibatkan kecederaan, malah ada yang membawa kepada kematian.
"Ia termasuk isu semasa melibatkan pelajar Tingkatan Satu, SMKA Tun Datu Mustapha, Zara Qairina Mahathir yang dikaitkan kes buli. Kes ini membuka mata semua pihak tentang betapa seriusnya kesan buli terhadap mangsa termasuk kesan psikologi, emosi dan sosial," katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan pada Rabu.

Pada majlis itu juga, Ketua Unit Kongsi Gelap, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan, Inspektor R Kannan menyampaikan ceramah bertajuk 'Buli Itu Jenayah, Bukan Gurauan: Hentikan Sebelum Terlambat' di hadapan 500 pelajar termasuk ibu bapa dan pemimpin komuniti yang turut diadakan Hari Keusahawanan.
Beliau berkata, walaupun budaya buli sering dikaitkan dengan sekolah berasrama, namun pihak pengurusan sekolah harian tidak boleh mengambil ringan mengenainya kerana kegiatan itu boleh berlaku dimana-mana.
"Penganjur berharap program ini dapat memberi keyakinan kepada semua pelajar bahawa sekolah adalah tempat selamat, harmoni dan menyeronokkan untuk menimba ilmu. Tiada seorang pun perlu berasa takut untuk hadir ke sekolah kerana setiap warganya adalah keluarga yang saling menyokong," ujar beliau.

Tambahnya, taklimat turut memberikan pendedahan kepada pelajar berkaitan langkah perlu diambil sekiranya berdepan situasi buli.
"Secara prinsip kita tidak mahu budaya buli berlarutan. Pihak sekolah perlu melaksanakan pemantauan berterusan dan tidak boleh mengambil ambil mudah sebarang aduan yang berkaitan buli dilaporkan pelajar.
"Sementara pelajar yang menjadi mangsa buli tidak boleh mengambil sikap berdiam diri sebaliknya perlu tampil dan mengambil saluran perlu bagi memastikan tidak terus menjadi mangsa," katanya.
Untuk rekod, kematian Zara Qairina mendapat liputan meluas media baru-baru ini selepas dikaitkan menjadi mangsa kegiatan buli.
Mangsa meninggal dunia pada 17 Julai lalu, selepas ditemui tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asramanya dan dipercayai jatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolah.
Tiada bedah siasat ke atas mangsa turut menyebabkan kematiannya dipertikai sehingga menimbulkan kontroversi yang besar.
