Pasukan kawad kaki SMK Ideal Heights akan bertanding untuk peringkat negeri pada 3 hingga 4 Oktober nanti.
Pasukan kawad kaki SMK Ideal Heights akan bertanding untuk peringkat negeri pada 3 hingga 4 Oktober nanti.

SMK Ideal Heights wakil daerah Gombak ke peringkat negeri dalam pertandingan kawad kaki

AZLEENDA SAHALUDIN
22 Sep 2023 02:37pm
A
A
A

Kegigihan berlatih kawad kaki pada setiap hari akhirnya membawa kegembiraan kepada pasukan kawad kaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ideal Heights, Selangor apabila layak mewakili daerah Gombak ke peringkat negeri dalam Pertandingan Kawad Kaki Pasukan Badan Beruniform.

Muhammad Dani
Muhammad Dani

Menurut ketua platunnya, Muhammad Dani Mishaeil Mohd Shahril,17, walaupun terpaksa berkorban dalam membahagikan masa antara pelajaran dan latihan kawad namun akhirnya ia membuahkan hasil lumayan kerana berjaya membawa nama baik sekolah ke peringkat lebih tinggi.

“Selaku ketua platun, saya sangat bersyukur kerana pasukan kawad kaki sekolah diberi peluang mewakili daerah Gombak ke peringkat negeri tidak lama lagi.

“Ini adalah satu pencapaian tertinggi sepanjang saya terlibat aktif dalam kawad kaki sejak berada di Tingkatan Satu lagi,” ujarnya ketika ditemui Sinar Bestari pada Rabu.

Mengulas lanjut, Muhammad Dani berkata, pasukan kawad kaki sekolahnya itu akan terus berlatih dan berusaha sehabis baik untuk mendapatkan tempat di peringkat negeri nanti.

Jelasnya, segala persiapan latihan kawad kaki termasuklah penjagaan kesihatan semua platun akan diberi keutamaan agar pasukan sekolah tersebut dapat melakukan yang terbaik.

Sementara itu, Pengelola Pertandingan Kawad Kaki Pasukan Badan Beruniform Sekolah Rendah dan Menengah Peringkat Daerah Gombak 2023, Cikgu Mohd Yassin Yaacob berkata, seramai 30 pasukan daripada pelbagai unit beruniform telah bertanding pada tahun ini membabitkan kira-kira 1,050 peserta yang merupakan pelajar sekolah sekitar Gombak.

Artikel Berkaitan:

“Terdapat lapan kategori yang dipertandingkan dan pasukan yang menjadi johan setiap kategori akan mewakili daerah Gombak ke peringkat negeri pada 3 hingga 4 Oktober nanti.

“Pertandingan peringkat negeri ini akan diadakan di padang kawad Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor kampus Shah Alam,” ujarnya.

SMK Ideal Heights antara sekolah yang memenangi Pertandingan Kawad Kaki peringkat daerah Gombak bagi kategori NGO Sekolah Menengah Lelaki sekali gus melayakkannya ke peringkat negeri pada 3 hingga 4 Oktober nanti.

Pertandingan yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak itu turut menyaksikan tujuh sekolah lain yang terpilih mewakili daerah tersebut mengikut kategori yang telah ditetapkan.

Antara sekolah yang terpilih adalah;

1) PPB Sekolah Rendah Lelaki

- Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Tasik Puteri

2) PPB Sekolah Rendah Perempuan

- SK Sg Tua Baharu

3) NGO Sekolah Menengah Lelaki

- SMK Ideal Heights

4) NGO Sekolah Menengah Perempuan

- SMK Bukit Gading

5) GO Sekolah Menengah Lelaki

- SMK Bukit Gading

6) GO Sekolah Menengah Perempuan

- SMK Rawang

7) KRS Sekolah Menengah Lelaki

- SMK Bandar Tasik Puteri

8) KRS Sekolah Menengah Perempuan

- SMK Ideal Heights

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok