SMK TTDI Jaya tekad cipta kejutan
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) TTDI Jaya mengejutkan pasukan pilihan SMK Shah Alam apabila kedua-dua berentap dalam perlawanan akhir Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 18 (B-18) Tahun di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Selasa.
Malah pengendali skuad B-18 SMK TTDI Jaya, Kamal Lahami menyifatkan pemain-pemain di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Perdana itu teruja untuk meletakkan trofi tersebut di kabinet kejuaraan sekolah pada penampilan pertama perlawanan akhir kejohanan berkenaan.
“Keazaman pemain-pemain untuk membawa pulang Piala Datuk Mokhtar Dahari ke SMK TTDI Jaya adalah tinggi.
“Tambahan pula setelah pemain-pemain bekerja keras untuk sampai hingga ke tahap ini dengan sokongan pentadbir sekolah dan ibu bapa pelajar.
“Ini perlawanan akhir pertama SMK TTDI Jaya di pentas Piala Datuk Mokhtar Dahari, masih belum banyak pengalaman berbanding pasukan lawan, namun pemain-pemain sudah bersedia memberi sehabis baik,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.
Ditanya mengenai fizikal dan mentaliti berdepan pasukan berpengalaman seperti SMK Shah Alam yang juga pasukan pilihan juara, Kamal berkata: “Kami pernah menang ke atas SMK Shah Alam menerusi penentuan sepakan penalti baru-baru ini.
"Namun bagi perlawanan akhir Piala Datuk Mokhtar Dahari B-18, kami lebih selesa tampil sebagai pasukan underdog.”