SMKA Kedah ungguli pentas matematik dan sains dunia di Bogor
Pasukan Matematik dan Sains dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kedah berjaya mengharumkan nama Malaysia apabila meraih dua pingat emas dan satu pingat perak dalam World Mathematics and Science Competition (WMSC) di Bogor, Indonesia baru-baru ini.
Pertandingan berprestij itu mengumpulkan pelajar-pelajar terbaik dalam bidang matematik dan sains dari seluruh dunia, bertujuan menggalakkan kecemerlangan akademik dan memupuk pemikiran kritis serta daya saing global.
SMKA Kedah turut mendapat pengiktirafan sebagai Overall Champion dalam kategori sains, menandakan kejayaan yang amat luar biasa.
Pasukan ini dianggotai oleh Ajmal Syauqi Najmudin, 14 dan Aisyah Nuriman Faudzi Abd Rahman, 14, yang masing-masing meraih pingat emas serta gelaran Champion.
Mohd Aqifudin Hazri, 13, menyumbang kepada kejayaan sekolah dengan meraih pingat perak.
Sementara itu, guru pembimbing, Dr Ismail Salleh yang juga merupakan Guru Cemerlang Hifz al-Quran berkata, kejayaan yang ditempa para pelajar SMKA Kedah tersebut adalah berkat hasil usaha berpasukan.
“Ini adalah hasil daripada usaha gigih, dedikasi pelajar, serta bimbingan yang tidak berbelah bahagi daripada para guru.
"Kejayaan ini diharap dapat memberi inspirasi kepada semua,” ujar Ismail.
Sinar Bestari ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan pelajar dan guru dari SMKA Kedah ini.
Bukan calang-calang orang mampu berada di pentas WMSC itu!
Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin semangat kepada pelajar lain untuk turut serta mengharumkan nama negara dalam bidang akademik dan sains di peringkat global.