SPM: Mudahkan proses lulus subjek Sejarah
Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2024 membabitkan 402,956 calon telah bermula 2 Disember lalu dan akan berakhir pada 6 Februari depan melibatkan 3,337 pusat peperiksaan di seluruh negara.
Pada hari pertama, peratusan kehadiran calon SPM mencecah 97 peratus setakat ini dan kira-kira 10,000 calon tidak hadir.
Maknanya, 10,000 yang tidak hadir itu secara automatik gagal SPM kerana Bahasa Melayu adalah syarat wajib lulus SPM.
Pada hari ini, calon akan menduduki kertas 1 dan 2 subjek Sejarah, satu perjuangan yang penting kerana ia merupakan subjek wajib lulus untuk mendapatkan sijil.
Sehebat mana dan cemerlang pun subjek-subjek lain, jika gagal Sejarah dan Bahasa Melayu, murid dikira gagal dalam SPM.
Subjek Sejarah memerlukan teknik hafalan yang betul dan bukan semua murid mempunyai keupayaan hafalan yang baik.
Maka, adalah menjadi harapan sebahagian besar ibu bapa jika untuk tahun-tahun hadapan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menambah baik kaedah pemarkahan kertas Sejarah supaya lebih ramai murid lulus subjek itu.
Antara kaedah yang boleh dipertimbangkan adalah dengan melaksanakan nisbah pemarkahan 30 peratus kerja kursus dan 70 peratus peperiksaan bertulis.
Melalui kerja kursus itu, murid boleh menyiapkan sebarang tugasan yang antara lain objektifnya dapat membentuk jati diri supaya mereka lebih memahami sejarah negara melalui pelbagai kaedah seiring keadaan semasa.
Tempoh pengajaran subjek itu juga boleh ditingkatkan bertepatan kepentingan subjek itu yang menjadi penentu untuk mendapatkan sijil.
Variasikan juga kaedah pengajaran supaya minat murid terhadap subjek Sejarah dapat dipupuk dengan lebih baik lagi.
Dengan pelaksanaan kaedah itu, peratusan murid yang lulus subjek Sejarah boleh ditingkatkan semaksimum mungkin, seterusnya mengelakkan mereka daripada tercicir daripada arus pendidikan hanya kerana gagal subjek tersebut.
Ia secara tidak langsung dapat menarik minat murid-murid untuk cintakan pendidikan dan tidak terpedaya dengan jalan pintas untuk berjaya dalam kehidupan.
Pada masa sama, ibu bapa juga perlu mainkan peranan dan jangan hanya serahkan semuanya kepada pihak sekolah tanpa berbuat apa-apa.