SSAAS Band terus lakar kejayaan
Latih pelajar untuk lebih berdisiplin, bijak bahagi masa
Walaupun perlu membahagi masa antara belajar dan kokurikulum, ia sedikit pun tidak melunturkan semangat dalam diri setiap pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Selangor meneruskan misi mengangkat nama baik pasukan pancaragam mereka.
Buktinya, pasukan pancaragam sekolah atau lebih dikenali sebagai SSAAS Band kini semakin gah dalam merangkul pelbagai anugerah, selain menonjolkan kebolehan luar biasa pelajar menerusi unit beruniform terbabit.
Terpanggil untuk berkongsi kisah manis dan membanggakan SSAAS Band ini, Sinar Bestari sempat melawat dan menyaksikan sendiri latihan pasukan berkenaan yang ahlinya terdiri daripada pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Empat.
Melihat kesungguhan ahli pasukan ini telah membuka mata kami bahawa mereka sememangnya layak melakar lebih banyak kejayaan di persada dunia, meskipun perlu mengorbankan diri berlatih di bawah terik matahari.
Jurulatihnya, Mohd Heykal Sukari, 27, berkata, pelajar yang memilih untuk terlibat dengan pancaragam sebagai unit beruniform adalah mereka yang berani menyahut cabaran selain turut berminat dengan muzik.
Mana tidaknya, mereka bukan sahaja berlatih di kawasan terbuka lagi panas tetapi juga perlu memikul alat muzik sambil berkawad.
“Setakat ini, semua ahli SSAAS Band menunjukkan komitmen yang tinggi dan ia membuktikan mereka memang bersemangat dalam pasukan pancaragam.
“Soal panas dan penat berjaya ditepis kerana mereka memang sentiasa menonjolkan kebolehan diri masing-masing ditambah pula dengan sikap ingin melakukan yang terbaik,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Bangkit selepas pandemik
Sejak tahun 2013, SSAAS Band berjaya mencipta nama di peringkat kebangsaan melalui pelbagai pertandingan serta jemputan untuk membuat persembahan.
Namun apabila Covid-19 melanda, kesemuanya terpaksa diberhentikan atas faktor kesihatan dan keselamatan.
Kini, boleh diibaratkan SSAAS Band mula bangkit melakar lebih banyak kejayaan dan seterusnya mengangkat nama baik sekolah ke peringkat antarabangsa.
Di samping itu, sebagai jurulatih, Heykal memberitahu, disiplin antara faktor penting yang perlu diterapkan dalam diri setiap ahli pasukan pancaragam.
Tanpanya, ahli-ahli ini akan mudah untuk hilang fokus akan tujuan asal mereka menyertai pasukan tersebut.
“Ramai juga pelajar yang berminat tetapi tidak mahir menggunakan alat muzik atau sebelum ini tidak pernah didedahkan pun dengan pancaragam.
“Tetapi ia bukan alasan, asalkan mereka berminat semuanya boleh diajar bermula dari bawah.
“Saya lihat pelajar yang sertai pancaragam ini tidak hanya dapat belajar muzik, malah mereka berpeluang menyertai banyak pertandingan-pertandingan luar yang boleh dijadikan sebagai pengalaman sebelum menamatkan zaman persekolahan,” tambahnya lagi.
Apa kata mereka
Teruja dan seronok melihat tiga kakaknya terlibat dalam pasukan pancaragam telah menyuntik minat Ros Ariani Mohd Halim terjun ke bidang sama.
Pelajar Tingkatan Empat itu memberitahu, kelainan yang dibawa dalam unit beruniform tersebut menjadikannya unik sehinggakan dirinya terus terlibat sejak dari Tingkatan Satu.
“Kalau unit beruniform lain semuanya berkawad sahaja tetapi dalam pancaragam, kami juga berkawad sambil bermain alat muzik.
“Itu yang menjadikan persembahan kawad kami sesuatu yang unik dan menarik,” ujarnya.
Dia yang juga memegang jawatan sebagai pengerusi persatuan memaklumkan, meskipun aktif dalam pasukan ia sama sekali tidak menghalang tanggungjawab dirinya sebagai pelajar.
Ros Ariani mengakui masih mengikuti jadual bagi membahagi masa antara belajar dan latihan pancaragam untuk mengekalkan konsistensi dua perkara tersebut.
Bagi Putera Muhammad Daniel Mohd Daud, 16, menyertai pasukan pancaragam sekolah membentuk dirinya menjadi lebih berdisiplin.
Katanya, sebaik sahaja tamat latihan pancaragam pada sebelah petang, dia akan mengulang kaji pelajaran pada waktu malam, bagi mengekalkan momentum dirinya untuk cemerlang sama ada dalam akademik dan kokurikulum.
“Sebagai ahli SSAAS Band, saya rasa amat penting untuk pandai mengurus masa supaya setiap aktiviti yang dilakukan tidak menjadi sesuatu yang sia-sia.
“Ia juga penting kerana sebagai pelajar memang tanggungjawab utama adalah untuk mencari ilmu tetapi kokurikulum juga sama pentingnya,” tuturnya.
Tambah Putera yang juga merupakan komander kawad SSAAS Band, pengalaman sejak terlibat dengan pasukan itu antara perkara manis yang dapat dijadikan sebagai nilai tambah sebelum melangkah ke alam pendidikan yang seterusnya.