Inilah pasukan STAR Cougars FC yang akan menyertai Kejohanan IberCup Estoril Portugal 2023, Julai depan.
Inilah pasukan STAR Cougars FC yang akan menyertai Kejohanan IberCup Estoril Portugal 2023, Julai depan.

STAR Cougars FC wakil negara ke Portugal Julai depan, mohon doakan kejayaan mereka!

ROSHLAWATY MD RAIEH
29 May 2023 05:26pm
A
A
A

"Inilah masanya untuk buktikan pasukan STAR Cougars FC sememangnya layak bertanding pada kejohanan bola sepak remaja berprestij dunia.”

Demikian kata Pengurus Pasukan, Mohd Firdaus Ahmad, ketika mengulas pemilihan STAR Cougars FC yang bakal mewakili negara pada Kejohanan IberCup Estoril Portugal 2023, Julai depan.

Menurut Mohd Firdaus, STAR Cougars FC merupakan pasukan bola sepak dari Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh, Perak.

Katanya, STAR Cougars FC ditubuhkan pada 1957 dan telah dijenamakan semula pada 2017 serta diberi nafas baharu dengan pengurusan dan kejurulatihan yang lebih tersusun dan teratur.

Sambungnya lagi, pasukan ini merupakan satu-satunya pasukan dari Malaysia yang dijemput untuk bertanding di IberCup Estoril Portugal 2023 pada 2 hingga 12 Julai di Estoril, Lisbon, Portugal.

“Kejohanan IberCup merupakan kejohanan bola sepak remaja dunia di pentas antarabangsa.

“Sejak edisi pertama, lebih daripada 100 buah negara telah menyertai pertandingan tersebut membabitkan penyertaan lebih 50,000 pemain remaja lelaki dan perempuan.

“IberCup mewujudkan interaksi yang berbeza di dalam dan luar padang yang memberikan satu pengalaman hebat hingga menjadikan IberCup sebagai salah satu Pertandingan Bola Sepak Belia yang paling diiktiraf di dunia,” ujar Mohd Firdaus yang juga seorang guru di STAR.

Johan International Yakoma Cup, Hanoi, Vietnam Bawah 17 (2022).
Johan International Yakoma Cup, Hanoi, Vietnam Bawah 17 (2022).

Bagaimanapun menurut Mohd Firdaus, STAR Cougars FC berhadapan masalah kewangan sebelum mereka berangkat ke Portugal.

Pasukan tersebut memerlukan sekitar RM175,000 yang membabitkan kos keseluruhan.

“Seramai 22 pemain dan empat pegawai akan mengikuti kejohanan kali ini dengan yuran penyertaan yang tinggi selain perbelanjaan lain sepanjang 10 hari berada di sana (Portugal).

“Kerana itu kami berhadapan dengan masalah kewangan dan memerlukan kira-kira RM175,000.

“Sehingga hari ini, kami sangat buntu apabila memikirkan tentang kos berkenaan dan ia bertambah sebak apabila melihat wajah-wajah pemain STAR Cougars FC tetap gigih berlatih biarpun kewangan masih belum mencukupi,” ujarnya ketika dihubungi Sinar Bestari.

Untuk merealisasikan impian pemain bola sepak STAR ke Portugas, Mohd Firdaus berharap ada pihak yang sudi menyumbang agar STAR Cougars FC berjaya menjulang nama Malaysia di pentas dunia.

Mengulas mengenai persiapan pasukan, Mohd Firdaus memberitahu, latihan kini giat dijalankan di padang sekolah setiap petang bermula pukul 5.15 hingga 6.30 petang.

Naib Johan LaGila Cup Melaka Bawah 19 (2023).
Naib Johan LaGila Cup Melaka Bawah 19 (2023).

“STAR merupakan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di Ipoh. Jadi, komitmen semua pemain cukup tinggi dan wajar diberi pujian.

“Mungkin disebabkan mereka tinggal di asrama dan pemain ini hanya memfokuskan kepada akademik dan kejohanan akan datang sahaja.

“Justeru besar harapan saya supaya mereka terus konsisten berlatih dan beri yang terbaik dalam IberCup Estoril Portugal 2023 nanti,” ujarnya.

Memandangkan tarikh kejohanan IberCup Estoril hanya tinggal beberapa minggu sahaja lagi, Mohd Firdaus akan menjemput beberapa legenda bola sepak negeri Perak untuk memberi motivasi dan kata-kata semangat kepada pemain STAR Cougars FC.

“Alhamdulillah, nama ikonik dalam bola sepak Perak iaitu Ahmad Shahrul Azhar bersetuju untuk bertemu dengan pemain muda STAR.

“Beliau akan berkongsi pengalaman serta memberi kata-kata semangat kepada pemain sebelum bertolak ke Portugal.

“Dengan kehadiran Ahmad Shahrul ini, diharapkan pemain STAR Cougars FC akan berlawan habis-habisan sekali gus membawa pulang kejayaan kepada negara,” jelasnya.

INFO

Jurulatih: Mohamad Norhafizul Mohamad Kamel, Mohamad Safwan Ahmad Thawari dan Azrul Hafiz Mohamad Mazuki

Anugerah dan Pencapaian:

Johan Super 4 Bawah 15 Tahun (2020)

Johan Liga SBP Perak Bawah 15 Tahun (2020)

Johan Kejohanan Kelab Bolasepak Junior Bangi Bawah 17 Tahun (2022)

Naib Johan EV Schoolbreak Challenge Bawah 17 Tahun (2022)

Johan International Yakoma Cup, Hanoi, Vietnam Bawah 17 Tahun (2022)

Johan Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Kinta Utara Zon C Bawah 17 Tahun (2022)

Johan MSSD Kinta Utara Bawah 17 Tahun (2022)

Johan Malaysia Little League Kinta Utara Bawah 16 Tahun (2022)

Johan Liga SBP Perak Bawah 16 Tahun (2022)

Tempat Ketiga LaGila Cup Melaka Bawah 15 Tahun(2023)

Johan LaGila Cup Melaka Bawah 17 Tahun (2023)

Naib Johan LaGila Cup Melaka Bawah 19 Tahun (2023)

Johan Adily Cup Bawah 15 Tahun (2023)

Johan STAR National SBP Championship 2022 Bawah 17 (2022)

Johan KBJB Bawah 17 (2022)

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok