Iffah Insyirah (tengah) ketika menerima Anugerah Tokoh SPM 2023 bagi SMK Jalan Kebun.
Iffah Insyirah (tengah) ketika menerima Anugerah Tokoh SPM 2023 bagi SMK Jalan Kebun.

Tokoh SPM 2023 kongsi tujuh tip cemerlang

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
01 Jul 2024 01:10pm
A
A
A

Tokoh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 bagi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Kebun, Shah Alam, Selangor, Iffah Insyirah Mohd Tarmizi berkongsi tip kejayaan meraih 11A dalam peperiksaan itu.

Koleksi tip yang diamalkan olehnya terdiri daripada tidak meninggalkan solat fardhu; solat tahajud dan hajat setiap malam sebelum mengulang kaji pelajaran pada tengah malam; tidak mengumpat dan menjaga adab dengan guru serta banyak membuat latihan menggunakan soalan percubaan SPM.

Beliau juga belajar dengan konsisten; menjadikan pembelajaran sebagai sesuatu yang menarik dan kurangkan bermain telefon bimbit.

Iffah Insyirah yang bercita-cita menjadi doktor, merakamkan jutaan terima kasih kepada ibu bapa, guru-guru dan rakan-rakan yang banyak membantu serta membimbingnya dalam pelajaran.

“Tanpa mereka, mana mungkin saya mampu meraih keputusan yang sebegini cemerlang. Terima kasih semua," katanya ketika Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Sesi 2023/2024 SMK Jalan Kebun, Sabtu lalu.

Iffah Insyirah
Iffah Insyirah

Menurut anak sulung daripada tiga adik beradik, mendapat kejayaan luar biasa dalam SPM bukan sesuatu yang mudah.

"Kepada adik-adik yang bakal menduduki SPM 2024, peganglah nasihat saya ini iaitu teruslah belajar dan berusaha tanpa henti serta percaya kepada potensi diri sendiri.

"Insya-ALLAH, kejayaan akan datang kepada mereka yang berusaha dengan gigih," ujarnya.

Terdahulu, majlis anjuran bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Ahli Jawatankuasa Pengurusan Kurikulum SMK Jalan Kebun bertujuan memberi penghargaan kepada pelajar-pelajar yang berjaya bidang akademik iaitu dalam Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan SPM 2023.

Ia juga berobjektif menyuntik motivasi kepada pelajar agar terus berusaha gigih untuk mewujudkan budaya belajar dengan kemahuan sendiri.

Beberapa anugerah pelajar cemerlang telah disampaikan dalam majlis yang turut dihadiri Pengetua SMK Jalan Kebun, Cikgu Rubi’ah Hayat dan Pengurus Agensi TKFL365 EH, Muhammad Hanafi Samsul selaku perasmi.

Antaranya adalah Pencapaian Akademik Terbaik Mengikut Kelas, Pencapaian Akademik Terbaik Mengikut Tingkatan, Permata Harapan, Pelajar Terbaik Mata Pelajaran SPM 2023 dan Anugerah Panitia Mata Pelajaran SPM 2023.

Nur Alya Adrianna (dua dari kanan) diumum penerima anugerah kategori Pencapaian Akademik Terbaik Mengikut Kelas.
Nur Alya Adrianna (dua dari kanan) diumum penerima anugerah kategori Pencapaian Akademik Terbaik Mengikut Kelas.

Sementara itu, Cikgu Rubi’ah berkata, kejayaan para pelajar tersebut adalah hasil usaha gigih mereka tanpa mengenal putus asa.

“Tahniah saya ucapkan kepada pelajar yang diraikan hari ini. Sesungguhnya, kejayaan adalah milik semua orang yang berusaha,” ujarnya.

Ahmad Muiz Zakiruddin Rasmizal (dua dari kanan) dinobat penerima anugerah dalam kategori Pencapaian Akademik Terbaik Mengikut Tingkatan.
Ahmad Muiz Zakiruddin Rasmizal (dua dari kanan) dinobat penerima anugerah dalam kategori Pencapaian Akademik Terbaik Mengikut Tingkatan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok