Pelajar SMK Raja Tun Uda menimba banyak pengalaman dan ilmu pada program motivasi selama tiga hari di UM.
Pelajar SMK Raja Tun Uda menimba banyak pengalaman dan ilmu pada program motivasi selama tiga hari di UM.

UM buka mata calon SPM gapai impian

Program motivasi beri pendedahan awal suasana kampus dan suntik semangat menjelang peperiksaan

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
09 Jul 2025 10:25am

Seramai 40 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Tun Uda, Bayan Lepas, Pulau Pinang diberi peluang merasai pengalaman unik menyertai program motivasi selama tiga hari di Universiti Malaya (UM) baru - baru ini.

Program itu merupakan inisiatif bersama Pejabat Exco Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Negeri Pulau Pinang, Jabatan Pentadbiran dan Keadilan Sosial, Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM serta Persatuan Pentadbiran dan Keadilan Sosial UM (PPKSUM).

Sepanjang program, pelajar dibimbing oleh 21 fasilitator daripada PPKSUM dan disambut meriah di Kolej Kediaman 11, UM.

Mereka berpeluang mengikuti pelbagai aktiviti menjelajah kampus antaranya Night Walk in UM sebagai pengenalan santai kepada suasana pembelajaran di universiti itu.

Pelajar juga menyertai sesi suai kenal interaktif dan aktiviti ice-breaking seperti Know You Know Me, Radio Rosak Pictionary dan Charades yang bukan sahaja menyeronokkan malah membina keyakinan diri dan semangat berpasukan.

Menerusi slot 'Suatu Hari Nanti Aku di Sini', pelajar dibawa melawat lokasi ikonik kampus termasuk Muzium Perubatan dan Halaman Penerbit UM.

Aktiviti berkenaan memberikan gambaran lebih jelas tentang bidang pengajian yang boleh diceburi selepas tamat persekolahan khususnya untuk pelajar aliran sains dan perakaunan.

Lawatan berkenaan secara langsung menyemai cita-cita dan membina impian untuk menjejakkan kaki ke menara gading selepas menamatkan peperiksaan SPM.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Kemuncak program ialah sesi forum bertajuk 'Pandulah Kami Untuk Berjaya' yang mengetengahkan perkongsian inspirasi oleh alumni dan wakil pelajar UM.

Mereka berkongsi cabaran, strategi belajar dan tip pengurusan emosi sebagai persediaan menghadapi tekanan menjelang peperiksaan besar.

Sempena program itu juga, Yang Dipertua PPKSUM, Wan Elliyana Natasha Wan Asrul menyampaikan pesanan penuh inspirasi kepada pelajar.

Menurutnya, setiap pelajar perlu meletakkan keyakinan yang tinggi terhadap kemampuan diri sendiri dan tidak mudah mengalah dengan cabaran mendatang.

"Berusahalah sehingga impian kita bukan lagi sekadar impian, tapi realiti yang boleh dan perlu kita kecapi,” katanya sambil menyeru pelajar agar terus gigih mengejar cita-cita.

Wakil pelajar SMK Raja Tun Uda, Muhammad Adam Hakimi Mohd Norazlan turut tampil menyampaikan ucapan penghargaan mewakili rakan-rakan lain.

"Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menganjurkan program ini. Ia bukan sahaja membuka mata kami terhadap kehidupan sebagai pelajar universiti, tetapi turut memberikan suntikan semangat serta panduan berguna untuk menghadapi SPM," katanya.

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp