Wakil tunggal Malaysia dan Asia Tenggara, Leia terpilih sertai kem Matematik antarabangsa
Malaysia sekali kali mencipta nama menerusi pemilihan Leia Mayssa menyertai Math Beyond Limits (MBL) yang merupakan sebuah kem Matematik Antarabangsa berprestasi tinggi di Poland.
Lebih membanggakan, Leia merupakan satu-satunya wakil Malaysia dan Asia Tenggara yang terpilih mengikuti kem itu bersama 62 lagi pelajar lain dari seluruh dunia selama dua minggu.
Menerusi hantaran dimuat naik oleh Fdaus Ahmad di laman Facebook, sebelum ini Leia sudahpun meletakkan dirinya di pentas dunia apabila berjaya meraih pingat gangsa dalam International Mathematical Olympiad (IMO) 2024 yang telah berlangsung di Bath United Kingdom.
“Di usia 17 tahun kini, dia sedang membuat persediaan ke luar negara di Kolej Mara Banting (KMB) bawah tajaan Mara Sponsorship Division.
“Istimewanya kejayaan adik Leia ini, dia sudah mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika berusia 16 tahun di Kolej Permata Pintar dan berjaya meraih 9A,” tulisnya.
Kejayaan itu membuktikan bahawa bakat besar yang dimiliki Leia dan kemampuan untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pakar-pakar Matematik muda dari seluruh dunia.
Usia yang muda ini telah membuktikan bahawa dia adalah aset bagi negara dalam bidang akademik khususnya Matematik.
Hakikat bahawa dia merupakan satu-satunya individu dari rantau ini yang terpilih menyertai kem Math Beyond Limits sejak mula dianjurkan pada tahun 2016 adalah satu pencapaian yang sepatutnya diiktiraf dan dibanggakan oleh seluruh rakyat Malaysia.
Dengan dedikasi, usaha gigih dan sokongan dari ibu bapa, Leia telah buktikan yang tiada sempadan untuk mencapai kejayaan walaupun di peringkat antarabangsa.
Olimpiad Matematik Malaysia juga layak menerima pujian kerana berjaya mencungkil bakat besar seperti Leia, yang kini menjadi harapan negara untuk terus menyerlah di pentas global.