Muhammad Aizuddin pada Majlis Anugerah Tokoh Siswa.
Muhammad Aizuddin pada Majlis Anugerah Tokoh Siswa.

Warga SMK Belawai raikan kejayaan pemenang Anugerah Kepimpinan Kebudayaan KPT 2022

FIRDAUS HANAFI MOHD ZAIN
24 Mar 2023 05:13pm
A
A
A

Pemenang Anugerah Kepimpinan Kebudayaan, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) 2022 dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Muhammad Aizuddin Harif telah diraikan warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belawai, Sarawak, baru-baru ini.

Pengetua SMK Belawai, Shariff Umar berkata, sekolah tersebut menumpang bangga dengan kejayaan yang dikecapi oleh Muhammad Aizuddin dan UniSZA.

Jelas Shariff, Muhammad Aizuddin yang berkhidmat sebagai pendidik di sekolah tersebut diharapkan mampu memberi impak yang positif dalam usaha melahirkan lebih ramai pelajar berpotensi besar sepertinya pada masa depan.



Muhammad Aizuddin pada Majlis Anugerah Tokoh Siswa.
Muhammad Aizuddin pada Majlis Anugerah Tokoh Siswa.



“Guru kami yang berbakat besar ini pastinya akan memberi impak positif ke arah melahirkan pelajar yang hebat sepertinya sekaligus mampu mengharumkan nama sekolah dari Daerah Daro ini diperingkat negeri atau kebangsaan nanti,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, menurut Pengetua, Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Nyior (SMKPN), Jitra, Kedah, Ahmad Othman, beliau turut senang hati dengan pencapaian Muhammad Aizuddin yang juga merupakan bekas pelajar sekolah tersebut di mana dia menamatkan pengajian pada 2014 sebelum melanjutkan pengajian ke UniSZA.

Beliau yang mesra disapa Cikgu Ahmad menambah, diharapkan Muhammad Aizuddin dan alumni-alumni SMKPN lain yang telah berjaya dalam pelajaran dan bidang masing-masing dapat kongsikan kejayaan mereka dengan pelajar-pelajar SMKPN nanti.

Jelasnya lagi, sekolah sentiasa membuka pintu kepada alumni-alumni berkenaan menerusi program-program ceramah atau apa pun aktiviti di peringkat sekolah.

Artikel Berkaitan:

“Keterampilan dan kebolehan pelajar-pelajar sekolah ini sentiasa membanggakan kami warga SMKPN dan diharapkan mereka boleh dan sudi untuk kongsikan kejayaan dengan murid-murid di sekolah ini nanti,” ujar Cikgu Ahmad.

Ketika sedang berkhidmat di SMK Belawai, Muhammad Aizuddin telah dipilih sebagai penerima Anugerah Pelajaran DiRaja 2022 sempena Konvokesyen UniSZA Kali ke-13.

Beliau melengkapkan tahun yang gemilang buat dirinya apabila diumumkan pula sebagai Pemenang Anugerah Kepimpinan Kebudayaan KPT 2022 baru-baru ini.

Antara kejayaan yang Muhammad Aizuddin kecapi, Anugerah Pelajaran Diraja daripada UniSZA.
Antara kejayaan yang Muhammad Aizuddin kecapi, Anugerah Pelajaran Diraja daripada UniSZA.



Antara anugerah lain yang berjaya dimenangi oleh Muhammad Aizuddin termasuk Anugerah Gambang Mustika (Kategori Pengurusan Kelab Kebudayaan dan Kategori Bakat Kebudayaan) daripada Majlis Kesenian Universiti Malaysia (MAKUM) sebanyak dua kali berturut-turut sesi 2019/2020 dan 2020/2021.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok