No Image Caption

7 kanser yang sering menyerang kanak-kanak yang ibu bapa perlu tahu

AZLEENDA SAHALUDIN
09 Feb 2023 02:32pm
A
A
A

Sakit kanser atau barah merupakan sejenis penyakit yang boleh menjangkiti pada mana-mana bahagian dalam tubuh badan manusia.

Ia terjadi apabila sel-sel di dalam badan bertambah secara tidak normal sehingga menyebabkan berlakunya ketumbuhan yang boleh dikenali sebagai tumor.

Memetik info daripada portal rasmi Kementerian Kesihatan (KKM), tumor boleh dikategorikan kepada dua iaitu bukan barah (benign) dan barah (malignant).

Tumor bukan barah tidak merebak ke bahagian tubuh badan atau organ manakala barah pula terdiri daripada sel-sel yang boleh merebak ke bahagian tersebut sekiranya tidak diberi rawatan.

Keadaan ini juga tidak hanya berlaku dalam kalangan orang dewasa malah turut menjangkiti golongan kanak-kanak sehingga boleh menyebabkan kematian di usia muda.

Untuk itu, Sinar Bestari kongsikan tujuh jenis kanser yang sering dihidapi pada kanak-kanak untuk makluman pembaca.

Jom baca!

Gambar rajah sel darah.

Kredit foto: American Academy of Orthopaedic Surgeons
Gambar rajah sel darah. Kredit foto: American Academy of Orthopaedic Surgeons

Artikel Berkaitan:

1) Leukemia

Terdapat dua jenis leukemia utama yang sering menjangkiti kanak-kanak iaitu Leukemia Myeloid Akut (AML) dan Leukemia Limfoblastik Akut (ALL). Keadaan ini berpunca daripada sel induk di dalam badan membesar tanpa kawalan sehingga menyebabkan nisbah normal sel darah putih melebihi jumlah sel darah merah. Ia boleh menjejaskan kesihatan mereka dengan menunjukkan keadaan kanak-kanak yang mudah berlaku pendarahan, demam dan jangkitan penyakit lain.

Contoh gambar bagi kanser Limfoma.
Contoh gambar bagi kanser Limfoma.

2) Limfoma

Limfoma merupakan salah satu kanser yang paling kerap terjadi pada kanak-kanak. Kanser ini menyerang kelenjar nodus limfa atau tisu limfoid yang boleh menyebabkan penurunan berat badan secara mendadak, cepat letih serta benjolan di bawah kulit leher, ketiak atau pangkal paha.

Contoh gambar bagi kanser otak.
Contoh gambar bagi kanser otak.

3) Tumor otak dan saraf tunjang

Tumor otak dan saraf tunjang juga merupakan kanser yang sering terjadi dalam kalangan kanak-kanak yang boleh mengundang sakit kepala, mual, muntah, penglihatan kabur serta masalah untuk berjalan.

Contoh gambar kanser tulang.

Kredit foto: Root of Science
Contoh gambar kanser tulang. Kredit foto: Root of Science

4) Kanser tulang

Terdapat dua jenis kanser tulang yang boleh menjejaskan tahap kesihatan seseorang kanak-kanak iaitu Osteosarcoma dan Ewing Sarcoma. Simptom bagi kanser ini adalah mengalami kesakitan pada tulang yang teruk pada waktu malam atau ketika melakukan sebarang aktiviti. Ia juga boleh menyebabkan keadaan bengkak di sekitar tulang.

Contoh gambar bagi Sarkoma tisu lembut.

Kredit foto: National University Health System
Contoh gambar bagi Sarkoma tisu lembut. Kredit foto: National University Health System

5) Sarkoma tisu lembut

Sarkoma menyerang tisu lembut yang terbentuk di tulang rawan, lemak, otot, saluran darah, tendon dan sekitar sendi. Kanser tulang dan sendi ini paling kerap didiagnosis dalam kalangan remaja namun kanak-kanak juga tidak terkecuali.

Contoh gambar bagi Neuroblasma.

Kredit foto: MyHealth Alberta
Contoh gambar bagi Neuroblasma. Kredit foto: MyHealth Alberta

6) Neuroblasma

Kanser sistem saraf simpatik ini kebiasaannya terjadi pada bayi atau kanak-kanak bawah 10 tahun. Ia adalah salah satu kanser yang sukar dikesan pada peringkat awal disebabkan oleh pesakit tidak menunjukkan sebarang simptom walaupun telah merebak ke bahagian badan lain. Justeru, ibu bapa perlu memperhatikan sebarang pembengkakan yang berlaku di perut atau gejala lain seperti sakit tulang atau demam.

Contoh gambar bagi  Retinoblastoma

Kredit foto: American Academy of Opthalmology
Contoh gambar bagi Retinoblastoma Kredit foto: American Academy of Opthalmology

7) Retinoblastoma

Retinoblastoma dikenali sebagai tumor mata yang sering dialami kanak-kanak berusia dua tahun. Keadaan ini boleh dilihat dengan menyuluh cahaya ke dalam mata dan pastikan ia berwarna merah. Namun sekiranya berwarna putih atau merah jambu, ibu bapa hendaklah segera mendapatkan pemeriksaan di hospital. Terdapat juga simptom lain bagi kanser tersebut iaitu mata juling atau anak-anak mengadu sakit pada kawasan mata.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok