Antara momen yang dirakam pada hari raptai Human Graphic
Antara momen yang dirakam pada hari raptai Human Graphic

Gerakan serentak, semangat kebersamaan!

Ribuan murid Selangor bersatu dalam satu gerakan, membawa semangat patriotik dengan tiga kelainan yang mencuri perhatian

QURRATUL AINA QUDDUSQURRATUL AINA QUDDUS
01 Sep 2026 12:27pm

Bayangkan ribuan murid bergerak dalam satu rentak, bertukar formasi dan membentuk gambaran besar yang dapat dihayati sepenuhnya dari pandangan tinggi serta jauh.

Itulah Human Graphic, persembahan yang bukan sekadar memukau mata, tetapi menyatukan tenaga, disiplin dan semangat kebersamaan.

Selepas pengalaman menguruskan persiapan Hari Kebangsaan sejak 2021, Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Ithnin Mahadi berkata, tahun ini sekali lagi menjadi medan membuktikan sesebuah persembahan berskala besar tidak terhasil dengan mudah.

Ithnin
Ithnin

Menurutnya, di sebalik setiap gerakan sempurna itu berlaku proses integrasi, kerjasama dan perpaduan melibatkan guru serta murid daripada pelbagai sekolah sekitar Selangor.

“Namun, Human Graphic 2026 tidak hadir dengan wajah yang sama. Kali ini ada tiga kelainan disuntik untuk memberikan nafas baharu.

“Pertama, 16 lagu merangkumi genre patriotik, etnik, kenegerian dan lagu yang dekat dengan jiwa ‘Gen Z’. Kedua, Rentak Perpaduan menggabungkan gerak tangan kreatif bersama paluan kompang sebagai simbol penyatuan masyarakat berbilang budaya.

“Kemuncaknya, Rentak Madani mengetengahkan paluan tradisi, prop dan grafik pelbagai etnik bagi menggambarkan Malaysia yang harmoni dan sejahtera,” katanya kepada Sinar Bestari.

Artikel Berkaitan:

Guru jadi tulang belakang

Di sebalik 1,500 murid Human Graphic yang mencuri perhatian, terdapat 125 guru yang menjadi tulang belakang kepada keseluruhan persembahan.

Bukan sekadar mengajar koreografi dan memastikan setiap gerakan tepat, Ithnin berkongsi bahawa guru turut menggalas tanggungjawab besar membimbing murid sejak latihan di sekolah, sebelum menggabungkannya dalam satu formasi lengkap di hadapan Dataran Istana Kehakiman, Putrajaya.

Antara momen yang dirakam pada hari raptai Human Graphic
Antara momen yang dirakam pada hari raptai Human Graphic

Menurutnya, selama dua hingga tiga bulan ini komitmen warga pendidik tidak terhenti di gelanggang latihan.

“Kebajikan, keselamatan, pengangkutan, kesihatan dan keperluan murid juga menjadi keutamaan, terutama ketika raptai penuh sebelum 31 Ogos.

“Daripada satu sekolah kepada satu formasi besar, guru-guru inilah yang memastikan setiap ‘piksel’ murid tahu tempat, peranan dan tanggungjawab masing-masing,” katanya lagi.

Di sebalik koreografi sempurna...

Sorakan penonton, wajah ceria dan persembahan sempurna mungkin menjadi perhatian pada Hari Kebangsaan.

Bagaimanapun, di sebalik kemeriahan itu, tersimpan kisah yang tidak disiarkan di mana-mana platform termasuk penonton yang hadir ke lokasi.

Antara momen yang dirakam pada hari raptai Human Graphic
Antara momen yang dirakam pada hari raptai Human Graphic

Ithnin berkata, seawal jam 4 pagi, pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersiap siaga bagi memastikan peserta Human Graphic berada dalam keadaan selamat sepanjang persembahan.

“Ada juga murid-murid simpanan yang disediakan sebagai langkah berjaga-jaga. Jika ada peserta yang sakit atau tidak dapat meneruskan persembahan, mereka segera mengambil alih tanpa mengganggu formasi.

“Sebab itu, setiap gerakan yang kelihatan kemas dan sempurna di mata penonton sebenarnya melalui persiapan yang teliti di belakang tabir,” kongsinya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp