Kredit Foto: Unsplash
Kredit Foto: Unsplash

Buku teks membosankan? Mungkin guru boleh cuba 9 cara ini untuk menarik murid menyukainya

ROSHLAWATY MD RAIEH
03 Feb 2023 02:36pm
A
A
A

Benarkah buku teks di sekolah membosankan? Jika ya, adakah disebabkan buku tersebut berat, tidak menarik dan tebal hingga mengakibatkan pelajar sukar mengulang kaji pelajaran?

Menurut Pegawai School Improvement Specialist Coach (Sisc+), Pejabat Pendidikan Daerah Kulai, Johor, Herryan Syah Tupan Surian, buku teks merupakan bahan penting untuk pendidikan dan menjadi sumber rujukan utama kepada guru dan pelajar dalam pembelajaran di sekolah.

Katanya, buku teks tidak membosankan sebaliknya ia akan menarik jika digunakan dengan cara yang betul.

Tambahnya lagi, ada beberapa strategi dalam menjadikan sumber rujukan itu sebagai bahan pembelajaran menyeronokkan.

“Saya senaraikan sembilan cara kreatif untuk cikgu-cikgu lakukan sepanjang menggunakan buku teks di sekolah,” ujarnya yang pernah berkhidmat sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Taman Indahpura 1, Kulai, Johor.

Berikut sembilan tip kreatif yang dimaksudkan oleh Herryan Syah.

1) Tangkap layar bahagian tertentu

2) Kenal pasti muka surat (ayat, perenggan dan gambar rajah)

  • Murid boleh berlatih mengingati fakta dengan lebih baik jika mereka perlu mengenal pasti muka surat ke berapa mereka boleh mendapatkan maklumat tertentu dan cara ini boleh dijadikan aktiviti.
  • Selain murid mudah menghafal, mereka juga lebih peka dengan kandungan penuh buku teks dan melihat perkaitan antara satu unit ke satu unit.
  • Murid juga dapat menggunakan pemikiran logik mereka dengan membuat jangkaan lokasi muka surat berdasarkan susunan topik.

Kredit Foto: Unsplash
Kredit Foto: Unsplash



3) Rakaman audio nota buku teks

  • Selain sekadar membaca, buku teks juga boleh dibacakan secara lisan dan dirakamkan. Hal ini menukar buku teks menjadi seolah-olah audiobook. Murid boleh mendengarnya sambil melakukkan kerja rumah atau kerja-kerja harian.

4) Rumusan muka surat buku teks

  • Murid boleh diminta membaca sesuatu topik dan membuat rumusan nota. Rumusan boleh dibuat dalam bentuk perenggan, peta minda atau sebarang bentuk gambar rajah.

5) Susunan turutan maklumat buku teks

  • Antara aktiviti menarik dan mudah adalah mengambil beberapa bahagian dalam buku teks dan murid perlu menyusun mengikut turutan. Konsep ini sama seperti cara nombor dua yang menjadikan murid mudah menghafal dan peka dengan kandungan buku teks.

6) Teka isi berdasarkan tajuk

  • Selain memahami dan mencerna maklumat, murid juga boleh membina perasaan ingin tahu. Perasaan ingin tahu ini menjadikan murid berminat dan berfikir lebih kritis. Oleh itu, guru boleh berikan tajuk dan anak-anak didik perlu meneka isi kandungan topik tersebut.

7) Bina soalan berdasarkan topik

  • Pada penghujung sesuatu topik, murid juga digalakkan untuk membina soalan. Soalan-soalan ini adalah kemuncak maklum balas murid terhadap topik yang dipelajari. Hal ini disebabkan mereka telah faham dan ingin tahu sesuatu yang lebih membina eksplorasi maklumat sendiri.

Kredit Foto: Unsplash
Kredit Foto: Unsplash



8) Cloze Text

  • Selain menyusun maklumat dan mengingati muka surat, aktiviti mengisi tempat kosong juga dapat membantu murid menjadi peka.
  • Murid perlu melengkapkan tempat kosong dengan mencari maklumat dalam buku teks dan mereka pasti sukakan aktiviti ini apatah lagi jika dijadikan sebagai pertandingan.

9) Jigsaw

  • Murid boleh dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Setiap kumpulan terbahagi kepada lima bahagian A, B, C, D dan E. Mereka baca bahagian masing-masing dan kemudian berbincang bersama ahli kumpulan lain.
  • Setelah beberapa minit perbincangan berlangsung, mereka kembali kepada kumpulan asal dan menyampaikan maklumat kepada ahli kumpulan. Aktiviti ini menjadi seronok sekiranya semua bekerjasama.

Akhir sekali, Herryan Syah berharap panduan yang diberikan itu dapat membantu para guru dalam mempelbagaikan kegunaan buku teks sepanjang mendidik anak-anak murid.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok