Tip pengurusan kewangan untuk mahasiswa
Dengan keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu, masalah kewangan adalah sesuatu yang biasa dihadapi oleh mahasiwa institut pengajian tinggi (IPT) dalam negara ini.
Antara punca mengapa mahasiswa sering berhadapan dengan isu kewangan ialah harga barangan harian yang sentiasa mengalami peningkatan.
Isu tersebut secara tidak langsung membuatkan kos sara hidup mereka juga terkesan dan meningkat.
Ini di tambah dengan faktor tuntutan akademik pada masa kini yang rata-ratanya menjadikan kecanggihan teknologi sebagai teras utama pendidikan membuatkan mahasiswa terpaksa mengeluarkan belanja yang agak tinggi bagi menyediakan keperluan pendidikan mereka.
Perkara ini telah membawa kepada satu kebiasaan di mana seorang penuntut universiti itu melakukan kerja sambilan dalam masa sama bergelar penunut IPT untuk menampung kehidupan mereka sepanjang tempoh pengajian.
Untuk itu, Sinar Bestari ingin kongsikan kepada pembaca khususnya mahasiswa beberapa tip pengurusan kewangan yang berguna.
Jom baca!
1) Bezakan keperluan dan kehendak
Keperluan adalah kepentingan asas yang diperlukan oleh setiap manusia untuk meneruskan kehidupan. Ia terdiri daripada barang atau perkhidmatan yang membolehkan manusia hidup pada tahap minimum seperti makanan, tempat tinggal serta pakaian.
Manakala kehendak adalah keinginan terhadap barang perkhidmatan untuk hidup dengan lebih selesa dan mewah daripada keadaan asal (tahap minimum), serta dapat meningkatkan taraf hidup.
Dengan membezakan dua perkara ini anda akan lebih berhati-hati semasa melakukan sebarang perbelanjaan.
Berikan keutaman kewangan untuk perkara yang melibatkan keperluan berbanding kemahuan.
2) Lakukan belanjawan
Selepas menerima wang perbelanjaan daripada sumber (ibu bapa, kerja sambilan, bantuan pendidikan dan sebagainya) anda digalakkan untuk membuat belanjawan.
Apabila berbuat demikian, anda akan lebih peka aliran kewangan anda serta membolehkan anda untuk melakukan perancangan perbelanjaan dengan lebih baik.
3) Buat perbandingan harga
Sebelum anda membeli sesuatu, sebaiknya buat perbandingan harga antara kedai-kedai yang dikunjungi.
Ini kerana sebahagian barangan harian di jual dengan harga yang berbeza bergantung kepada kedai yang menjual.
4) Belanja mengikut keutamaan
Sebagai mahasiswa tugas utama anda adalah menuntut ilmu.
Oleh itu, anda seharusnya menjadikan itu sebagai satu keutamaan dalam hal pengurusan kewangan anda.
Dengan ketiadaan sumber pendapatan yang tetap, sebaiknya gunakan sumber kewangan yang dimiliki untuk perkara yang berkaitan pendidikan.
Anda boleh berhibur seperti keluar bersama rakan-rakan dan sebagainya tetapi diingatkan agar anda tahu batas perbelanjaan yang dimiliki sebagai seorang pelajar.
5) Simpanan dana kecemasan
Meskipun masih bergelar mahasiswa, anda juga seharusnya memiliki simpanan kewangan untuk digunakan ketika kecemasan.
Contoh situasi kecemasan yang mungkin akan anda hadapi adalah seperti komputer riba secara tiba-tiba mengalami kerosakan ketika tempoh menghantar tugasan semakin hampir.
Ini boleh berlaku pada bila-bila masa. Oleh itu sebaiknya ambil langkah berjaga-jaga dengan adakan simpanan tersebut.