11 tip didik murid lembam cara Ustaz Quszaini
Segelintir ibu bapa yang mempunyai anak lembam atau slow learner mengambil pendekatan untuk menyembunyikan mereka daripada pandangan umum.
Mereka berbuat demikian mungkin kerana tidak mahu anak-anak dibuli oleh orang luar, malu dengan keadaan anak dan sebagainya.
Bagaimanapun, hari ini dengan pendedahan dan maklumat yang disalurkan melalui kumpulan sokongan, ibu bapa dan penjaga dilihat tidak lagi berbuat demikian.
Bagi murid lembam, kebiasaannya pencapaian akademik mereka tidak begitu bagus dan ini kerana mereka tidak boleh mengikuti pelajaran di kelas, menjalani kokurikulum dan lain-lain lagi.
Murid kategori ini terlalu lambat untuk mencapai objektif pengajaran yang mudah, objektif jangka pendek, mempunyai daya rangsangan dan daya pengamatan yang lemah serta rendah.
Menurut Guru Bahasa Arab, Sekolah Kebangsaan Pasukan Polis Hutan, Ulu Kinta, Perak, Ustaz Quszaini Abd Manan, terdapat tiga cara untuk mengenali murid lembam atau slow learner ini.
Tiga cara tersebut adalah
1) Dalam proses mengenali huruf, murid ini mengambil masa lama dan terdapat sesetengah huruf seperti q, p, b dan d yang membuatkan murid-murid menghadapi masalah mengingat setiap perkataan yang dipamerkan secara rawak.
2) Keyakinan murid ini rendah dan selalu merendah diri di dalam kelas.
3) Disebabkan murid ini menghadapi masalah dalam mengenal huruf dan mengeja, mereka akan menghadapi masalah mengikuti pembelajaran di kelas lain.
Sambung Ustaz Quszaini lagi, para guru seharusnya tidak cepat putus asa dalam mendidik murid-murid lembam ini.
“Ada cara untuk urus mereka, cuma kita sebagai guru, kena kuat, sabar dan cekal setiap kali mengajar mereka.
“Justeru, saya kongsikan 11 tip mudah untuk urus murid lembam. Semoga bermanfaat,” katanya.
11 tip penting yang dinyatakan Ustaz Quszaini adalah
1) Kepada guru, terimalah dengan hati yang terbuka sekiranya perlu mengajar murid lembam. Apabila kita menerima dengan lapang dada, secara automatik guru akan ikhlas mahu mengajar dengan sebaik-baiknya.
2) Kunci utama adalah sabar. Jangan sesekali merungut. Ini adalah ujian kepada guru tentang bagaimana mengurus tadbir kelas ini dengan sebaik-baiknya. Percayalah, petua orang tua-tua ada menyebut: “Kalau kita mengajar anak murid dengan baik, insya-ALLAH anak-anak kita juga akan diajar dengan baik oleh guru-guru lain"
3) Kurangkan membebel. Beri sahaja arahan dan bimbing mereka dengan baik. Murid tidak suka mendengar guru membebel. Berilah anak-anak ini aura positif dan semangat.
4) Semasa aktiviti membaca, pastikan murid kosongkan meja. Ini adalah untuk memastikan murid memberi fokus kepada pembelajaran.
5) Ketika aktiviti membaca dan mengeja, bacalah perkataan bersama-sama dan ulang seberapa banyak bersama murid.
6) Memberi pujian kepada murid-murid yang berjaya membaca walaupun sekadar satu perkataan daripada 10 yang diajar.
7) Semasa murid menulis, guru dikehendaki kerap meronda dalam kelas dan memeriksa seorang demi seorang. Ini bertujuan memastikan anak-anak didik membuat kerja dengan teliti.
8) Pastikan murid duduk tegak sebelum membaca dan menulis.
9) Cuba beri ganjaran kepada murid yang ada potensi baik dan berdisiplin. Walaupun lemah, mereka juga berhak mendapat penghargaan biarpun hanya pemberian token yang kecil.
10) Sediakan kotak kecemasan berupa alat tulis dan pensel warna. Ini hanyalah pinjaman kepada mereka sekali gus memberikan suasana menyeronokkan kepada murid-murid.
11) Guru-guru perlu kerap memberi kata-kata semangat kepada ibu bapa dan paling penting ingatkan kepada mereka perkara seperti buku dan alat tulis untuk kegunaan murid harian di sekolah.