Pembotolan adalah antara kaedah pengawetan makanan yang boleh digunakan oleh semua orang.
Pembotolan adalah antara kaedah pengawetan makanan yang boleh digunakan oleh semua orang.

12 kaedah pengawetan makanan

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
23 Sep 2024 08:20am

Pengawetan makanan ialah proses melambatkan makanan daripada menjadi rosak dan ia bertujuan menghalang atau melambatkan pertumbuhan mikroorganisma.

Apakah mikroorganisma?

Mikroorganisma ialah penyebab utama kerosakan makanan kerana ia akan bertumbuh jika terdapat air, udara, suhu dan keasidan yang sesuai.

Bagi mengelakkan makanan menjadi rosak, terdapat beberapa kaedah pengawetan makanan yang boleh digunakan oleh semua orang.

Sehubungan itu, Sinar Bestari kongsikan 12 kaedah pengawetan makanan untuk pengetahuan bersama.

Semoga bermanfaat.

1) Pengeringan

Makanan dikeringkan dengan bantuan haba untuk menyingkirkan kandungan air yang ada terkandung di dalamnya. Kaedah ini menyebabkan mikroorganisma tidak dapat hidup akibat ketiadaan air.

Artikel Berkaitan:

2) Pendidihan

Makanan yang dimasak dan dididihkan pada suhu yang tinggi akan bertahan lebih lama. Suhu yang tinggi menyebabkan kebanyakan mikroorganisma mati.

3) Pendinginan

Makanan disimpan di dalam tempat dingin pada suhu sekitar 4 darjah celsius. Suhu yang rendah menyebabkan pertumbuhan mikroorganisma menjadi perlahan.

4) Penyejukbekuan

Makanan yang disejukbekukan secara perlahan pada takat beku, iaitu 0 darjah celsius dan ke bawah. Suhu di bawah takat beku menyebabkan proses pertumbuhan mikroorganisma terhenti.

No Image Caption

5) Pembungkusan vakum

Makanan disimpan di dalam pembungkus makanan yang telah divakumkan. Ketiadaan udara menyebabkan mikroorganisma tidak boleh bertumbuh.

6) Pengetinan

Makanan dimasak dan disejukkan sebelum dimasukkan ke dalam tin. Tin kemudiannya dipateri supaya kedap udara. Ketiadaan udara ketika makanan ditinkan menyebabkan mikroorganisma tidak boleh bertumbuh. Seterusnya, tin dipanaskan pada suhu yang tinggi untuk mematikan mikroorganisma.

7) Pembotolan

Makanan diproses lalu dididihkan dan disejukkan sebelum dimasukkan ke dalam botol yang kedap udara. Suhu yang tinggi dan ketiadaan udara menyebabkan mikroorganisma mati.

8) Pempasteuran

Makanan dipanaskan pada suhu 63 darjah celsius selama 30 minit atau pada suhu 72 darjah celsius selama 15 saat dan diikuti dengan pendinginan segera pada suhu empat darjah celsius sebelum dipek dan disimpan. Bagi pempasteuran suhu tinggi (UHT), makanan dipanaskan pada suhu 135 darjah celsius selama dua saat dan diikuti dengan pendinginan segera pada suhu 4 darjah celsius. Suhu yang tinggi ketika pemanasan akan menyebabkan mikroorganisma mati. Suhu yang rendah pula akan menghalang pertumbuhan dan menyebabkan mikroorganisma menjadi kurang aktif.

9) Penjerukan

Makanan direndam di dalam cuka, larutan gula atau garam yang pekat. Keasidan yang tidak sesuai menyebabkan mikroorganisma sukar untuk bertumbuh.

No Image Caption

10) Pemasinan

Makanan dilumurkan dengan kuantiti garam yang banyak untuk menyingkirkan kelembapan dalam makanan. Ketiadaan air menyebabkan pertumbuhan mikroorganisma dapat dicegah.

11) Penyalaian

Makanan dikeringkan dengan teknik penyalaian dalam satu tempoh masa yang lama. Ketiadaan air menyebabkan pertumbuhan mikroorganisma terbantut. Daging, itik, ayam, ikan dan pisang dapat diawet melalui penyalaian.

12) Pelilinan

Salutan lilin menghalang udara dan air daripada menembusi permukaan makanan dan dapat mencegah pertumbuhan mikroorganisma.

Sumber: Buku Teks Sains Tahun 6

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp