Kredit eBeliaRahmah dan manfaat padanan daripada penyedia perkhidmatan e-dompet terlibat boleh dibelanjakan secara 'offline' hingga 31 Ogos 2023.
Kredit eBeliaRahmah dan manfaat padanan daripada penyedia perkhidmatan e-dompet terlibat boleh dibelanjakan secara 'offline' hingga 31 Ogos 2023.

20 perkara yang perlu belia atau penuntut ketahui mengenai eBeliaRahmah

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
27 Jun 2023 11:38am

Sejak beberapa hari ini, eBeliaRahmah menjadi trending di semua laman sosial apabila tempoh pendaftaran dan tuntutan bagi program itu sudah dibuka pada Isnin.

Program eBeliaRahmah yang menyasarkan penerima dalam kalangan belia berumur 18 hingga 20 tahun atau penuntut sepenuh masa institut pengajian tinggi (IPT), bakal menerima bantuan RM200 dalam bentuk kredit e-tunai daripada kerajaan, sekiranya mereka mendaftar mulai 26 Jun hingga 22 Ogos 2023.

Menurut Kementerian Kewangan (MoF), golongan belia yang layak perlu mendaftar melalui salah satu daripada tiga penyedia perkhidmatan e-dompet iaitu Boost, Setel dan Touch ‘n Go eWallet.

Kata MoF, kredit eBeliaRahmah dan manfaat padanan daripada penyedia perkhidmatan e-dompet terlibat boleh dibelanjakan secara 'offline' hingga 31 Ogos 2023.

Memandangkan eBeliaRahmah diperkatakan ramai, hari ini Sinar Bestari kongsikan definisi program itu beserta beberapa soalan lazim yang sering ditanya para belia atau penuntut.

1) Apakah inisiatif eBeliaRahmah?

Program eBeliaRahmah merupakan satu inisiatif kerajaan yang telah diumumkan di bawah Belanjawan 2023 oleh MoF.

Program ini bertujuan menggalakkan perbelanjaan tanpa tunai selain meringankan beban kewangan belia.

Artikel Berkaitan:

Program ini dijangka memanfaatkan sekitar dua juta belia Malaysia melalui tawaran kredit eBeliaRahmah bernilai RM200 yang boleh digunakan bagi pembelian fizikal melalui penyedia perkhidmatan e-dompet yang terpilih. - Pada masa sama, penyedia perkhidmatan e-dompet yang mengambil bahagian akan turut menawarkan insentif tambahan dalam bentuk baucar, pulangan tunai (cashback), diskaun atau mata ganjaran (rewards points).

2) Siapakah yang layak menerima kredit eBeliaRahmah ini?

Syarat-syarat kelayakan adalah seperti berikut;

a. Warganegara Malaysia

b. Mencapai umur 18 hingga 20 tahun pada tahun 2023 (lahir pada 2003 hingga 2005)

ATAU

c. Merupakan penuntut aktif sepenuh masa sebelum 30 April 2023 di peringkat setara diploma atau penuntut sepenuh masa institut pengajian tinggi (IPT).

3) Saya berumur 20 tahun tapi akan mencapai umur 21 tahun pada 2023, adakah saya layak untuk program ini?

Tidak, warganegara Malaysia yang mencapai umur 21 tahun pada 2023 (lahir pada 2002) dan ke atas tidak layak untuk program ini kecuali memenuhi syarat penuntut di 2 (c).

4) Saya bakal menjadi mahasiswa sepenuh masa di IPT berdaftar, namun hanya akan memulakan pengajian hujung tahun ini, adakah saya layak?

Penuntut baharu yang sudah berdaftar sebagai penuntut aktif sepenuh masa di IPT sebelum 30 April 2023 adalah layak untuk menerima kredit eBeliaRahmah.

5) Saya merupakan penuntut sepenuh masa di IPT berdaftar dan telah menamatkan pengajian sebelum program bermula, adakah saya layak?

Bagi penuntut sepenuh masa dari IPT Awam (IPTA) dan IPT Swasta (IPTS) yang berstatus aktif sebagai penuntut sepenuh masa pada 1 Januari 2023 dan tamat pengajian pada 2023 adalah layak menerima kredit eBeliaRahmah, termasuk yang berumur lebih daripada 20 tahun.

6) Bilakah program ini akan bermula dan bilakah ia akan berakhir? Adakah kredit eBeliaRahmah dan insentif e-tunai mempunyai tarikh luput?

Permohonan kredit eBeliaRahmah hanya boleh dibuat sekali bagi setiap pemohon yang layak bermula 8 pagi 26 Jun 2023 hingga 11.59 malam, 22 Ogos 2023.

Setelah kredit berjaya dipohon, ia perlu dibelanjakan selewat-lewatnya pada 11.59 malam, 31 Ogos 2023. Selepas tarikh akhir ini, baki kredit eBeliaRahmah yang tidak digunakan akan luput secara automatik daripada e-dompet pemohon.

Insentif yang ditawarkan oleh penyedia perkhidmatan e-dompet bergantung kepada polisi masing-masing.

7) Di manakah saya boleh membuat tuntutan kredit eBeliaRahmah ini?

Penyedia perkhidmatan e-dompet yang terlibat dalam program ini ialah Boost, Setel dan Touch ‘n Go eWallet.

8) Bagaimana saya boleh memohon kredit eBeliaRahmah?

Proses verifikasi bagi pengguna baharu dan sedia ada boleh dilakukan melalui penyedia perkhidmatan e-dompet yang terlibat.

Langkah 1: Muat turun aplikasi e-dompet terlibat dari Apple App Store, Google Play Store atau Huawei AppGallery.

Langkah 2: Bagi pengguna baharu atau sedia ada, ikuti arahan yang disediakan dalam aplikasi e-dompet tersebut.

Langkah 3: Penyedia perkhidmatan e-dompet akan membuat verifikasi identiti anda secara elektronik Know-Your-Customer (eKYC).

Langkah 4: Di aplikasi e-dompet pilihan anda, masukkan maklumat yang diperlukan pada halaman tuntutan eBeliaRahmah dan tekan hantar.

Langkah 5: Anda akan dimaklumkan mengenai status tuntutan dalam masa tiga hari. Penerima yang layak hanya boleh menuntut kredit eBeliaRahmah daripada satu penyedia perkhidmatan e-dompet sahaja.

9) Apakah yang boleh saya beli menggunakan kredit eBeliaRahmah tersebut?

Anda boleh menggunakan kredit RM200 eBeliaRahmah untuk sebarang transaksi secara fizikal di lebih 1.7 juta peruncit/perniagaan melalui e-dompet pilihan anda, KECUALI;

a. Pemindahan ‘peer-to-peer’

b. Penebusan tunai

c. Bayaran bil utiliti terintegrasi dengan aplikasi e-tunai

d. Bayaran fi berkaitan kerajaan terintegrasi dengan aplikasi e-tunai

e. Bil pascabayar telekomunikasi dan prabayar terintegrasi dengan aplikasi e-tunai

f. Pembelian permainan (‘games’) terintegrasi dengan aplikasi e-tunai

g. Bayaran tempat letak kereta dan/atau tol

h. Aktiviti berkaitan pelaburan terintegrasi dengan aplikasi e-tunai

i. Transaksi e-dagang atau transaksi dalam talian

10) Bilakah saya akan mendapat tuntutan kredit RM200 eBeliaRahmah?

Sekiranya anda memenuhi kelayakan eBeliaRahmah dan telah melalui proses verifikasi eKYC, anda akan menerima RM200 secara one-off ke dalam e-dompet pilihan anda dalam masa tiga hari dari tarikh permohonan.

11) Bilakah saya akan menerima insentif e-tunai daripada penyedia perkhidmatan e-dompet yang terlibat dalam program ini?

Ini bergantung kepada penyedia perkhidmatan e-dompet masing-masing berdasarkan polisi kempen yang ditawarkan.

12) Bagaimana pihak anda membuat semakan maklumat peribadi saya dan adakah maklumat tersebut dilindungi?

Data kewarganegaraan, umur dan status penuntut yang berkaitan akan disahkan melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan senarai data daripada Kementerian Pengawal. Data peribadi tersebut tidak akan dikongsi dengan penyedia perkhidmatan e-dompet.

Sebarang masalah privasi data yang berkaitan dengan e-dompet tertakluk kepada peruntukan undang-undang dalam Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA).

13) Saya merupakan peruncit luar talian yang tidak mempunyai fasiliti pembayaran e-dompet. Bolehkah penerima eBeliaRahmah berbelanja di premis saya?

Tidak. Oleh itu, semua peruncit digalakkan menyertai platform e-dompet atau menerima pembayaran melalui kod QR DuitNow agar penerima eBeliaRahmah boleh berbelanja kredit eBeliaRahmah mereka di kedai anda.

14) Mengapa permohonan saya lambat diluluskan?

Semasa tempoh tuntutan yang tinggi, mungkin terdapat kelewatan dalam pemprosesan kredit RM200 eBeliaRahmah. Anda dinasihatkan untuk menghubungi penyedia perkhidmatan e-dompet yang anda pilih untuk maklumat lanjut berkaitan sekiranya kelewatan tersebut sudah menjangkau tiga hari.

Bagi memudahkan pertikaian, anda mungkin perlu menghantar maklumat tambahan contohnya kad pengenalan, untuk verifikasi.

Maklumat perkhidmatan pelanggan e-dompet;

a. Boost: https://support.myboost.com.my

b. Setel: https://help.setel.com/

c. Touch ‘n Go eWallet: https://support.tngdigital.com.my/hc/en-my

15) Bagaimanakah saya akan tahu sama ada saya layak?

Anda akan menerima notifikasi tentang status permohonan daripada penyedia perkhidmatan e-dompet pilihan setelah anda membuat permohonan di halaman eBeliaRahmah dalam aplikasi e-dompet tersebut.

16) Adakah saya akan dimaklumkan sekiranya permohonan gagal?

Ya, anda akan menerima notifikasi tentang status permohonan daripada e-dompet pilihan masing-masing.

17) Adakah terdapat proses bagi sebarang pertikaian (dispute)?

Ya. Sebarang pertikaian boleh dikemukakan kepada penyedia perkhidmatan e-dompet pilihan dan pihak penyedia perkhidmatan e-dompet akan membantu anda.

Bagi permohonan yang gagal akibat pengenalan diri tidak sah, anda mungkin perlu menghantar maklumat tambahan untuk verifikasi semasa proses pertikaian.

18) Mengapa RM200 yang saya terima tidak boleh digunakan untuk pembelian dalam talian?

Inisiatif eBeliaRahmah adalah untuk kegunaan secara fizikal.

Ini juga sebahagian daripada langkah yang diambil untuk menyokong peruncit dan peniaga di Malaysia yang merupakan sebahagian daripada komuniti perniagaan negara. Pada masa yang sama, baucar, diskaun dan lain-lain yang diberikan oleh penyedia perkhidmatan e-dompet boleh digunakan dalam talian dan luar talian, tertakluk kepada syarat penyedia e-dompet yang berkenaan.

19) Terdapat perniagaan/peruncit fizikal yang tidak mempunyai penyedia perkhidmatan e-dompet pilihan sebagai kaedah pembayaran. Bagaimana cara untuk saya membuat pembayaran?

Kaedah piawaian penggunaan kod QR saling boleh kendali Duitnow membolehkan rakyat Malaysia membuat pembayaran dan menerima dana daripada mana-mana bank dan edompet yang berdaftar dengan hanya satu kod QR: https://www.duitnow.my/QR/index.html

Sukacita dimaklumkan bahawa ketiga-tiga dompet di bawah inisiatif eBeliaRahmah adalah berdaftar dengan Duitnow.

Oleh itu, jika peruncit pilihan tidak membawa kod QR e-dompet pilihan anda, anda masih boleh membuat pembayaran dengan menggunakan kod QR DuitNow.

20) Bagaimana tiga penyedia perkhidmatan e-dompet tersebut dipilih untuk program ini?

Pihak kerajaan telah mengundang 10 penyedia perkhidmatan e-dompet utama (berdasarkan volum transaksi dan pengguna aktif) untuk bekerjasama dalam program ini dengan garis panduan dan terma serta syarat program yang telah ditentukan MoF. Ini termasuk kemampuan memenuhi syarat teknikal program, perkongsian kos dan insentif e-tunai tambahan yang akan ditawarkan untuk dipadankan dengan kredit eBeliaRahmah yang diberikan kerajaan.

Setelah melalui proses perbincangan dan penilaian, tiga penyedia perkhidmatan e-tunai iaitu Boost, Setel dan Touch ‘n Go eWallet telah memberi komitmen penyertaan dalam program ini.

Ketiga-tiga syarikat e-dompet ini secara keseluruhan mempunyai lebih 10 juta pengguna dan mempunyai jaringan lebih dua juta peniaga di dalam dan di luar talian.

Jaringan yang kukuh dan luas ini membolehkan program dilaksanakan secara menyeluruh di seluruh negara.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp