7 tip didik anak berpuasa, guru dan ibu bapa boleh praktikkan bermula sekarang
Ramadan adalah bulan yang paling dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam bagi mengejar pahala berganda pada bulan mulia ini.
Masing-masing berusaha sedaya upaya untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT khususnya dengan berpuasa di bulan yang penuh keberkatan ini.
Dalam menjalani ibadah tersebut, murid-murid di peringkat sekolah rendah adalah individu yang teruja untuk berpuasa.
Bagi mereka, dapat berpuasa penuh merupakan satu kejayaan yang sukar untuk digambarkan.
Namun begitu, timbul persoalan dalam kalangan ramai berkenaan kemampuan murid-murid ini menunaikan ibadah puasa.
Ibu bapa dan penjaga adalah insan yang cukup bimbang sama ada anak-anak mereka mampu atau tidak meneruskan puasa sehingga tiba waktu berbuka.
Bagi menghilangkan keresahan dan kegelisahan ibu bapa berhubung kewajipan berpuasa, Sinar Bestari kongsikan tujuh tip untuk mereka didik anak-anak menjalani ibadah itu.
Tujuh tip yang dimaksudkan itu terdiri daripada
1) Periksa kemampuan anak
Penting untuk ibu bapa memberi kefahaman kepada anak tentang keutamaan solat berbanding puasa.
Libatkan mereka dalam solat sehari-hari dan dari situ akan lebih mudah untuk anak memahami dan menjalankan ibadah puasa dengan rela hati.
Jangan membandingkan anak dengan orang lain. Sebaliknya, lihatlah kemampuan anak sendiri sama ada mereka bersedia untuk melakukan ibadah puasa atau tidak.
2) Bercerita tentang puasa
Lakukan aktiviti yang menyeronokkan untuk membantu anak memahami tentang ibadah puasa.
Ibu bapa dan penjaga boleh berbual santai, membaca buku cerita, membuat kraf, lakonan boneka atau menonton kisah Upin dan Ipin tentang puasa.
Kita tidak mahu mendidik anak menganggap Islam adalah agama yang susah. Sebaliknya, ia adalah fitrah dan bersesuaian dengan semua manusia.
3) Rancang secara berperingkat
Bagi yang pertama kali berpuasa, latihlah mereka secara berperingkat. Ibu bapa boleh memulakan dengan beberapa jam terlebih dahulu. Kemudian barulah diikuti dengan separuh hari seterusnya beberapa hari mengikut kemampuan anak.
Rutin seperti ini seeloknya dipertingkatkan setiap tahun apabila tibanya Ramadan. Dengan cara ini mereka lebih bersedia dan tidak rasa terpaksa untuk berpuasa.
4) Sediakan jadual aktiviti
Apabila anak berpuasa, mereka mungkin kurang aktif kerana letih. Oleh itu, anda boleh mencari idea-idea menarik atau DIY (do it yourself) untuk anak-anak mengikuti aktiviti yang melekakan seperti mewarna, melukis, membaca buku cerita atau membuat kraf.
5) Hidangkan makanan kegemaran untuk bersahur dan berbuka
Ibu-ibu perlu lebih kreatif di bulan Ramadan ini dalam memastikan anak-anak mengambil keperluan makanan yang seimbang ketika bersahur dan berbuka. Carilah resepi yang menggabungkan makanan kegemaran mereka dengan keperluan sihat seperti ayam goreng dan buah-buahan serta minuman coklat.
6) Lewatkan waktu sahur mereka
Anak-anak mungkin sukar untuk bangun pagi apatah lagi bersahur.
Kalau anak dibangunkan terlalu awal, kemungkinan besar mereka akan tertidur semula sebelum sempat menunaikan solat Subuh.
Sebaiknya, ibu bapa berbual-bual dengan anak dan menyalakan lampu yang terang serta menjadikan suasana bersahur meriah agar mereka tidak mengantuk.
7) Beri pujian dan kata positif
Apabila anak berjaya berpuasa mengikut waktu tertentu, ucapkan tahniah walaupun mereka berpuasa dua hingga tiga jam atau setengah hari.
Jika mereka nampak seperti mahu berputus asa, berikan galakan. Anak-anak bukannya sengaja mencari alasan bermanja tetapi sebenarnya sokongan ibu bapa amat diperlukan ketika ini.
Dalam melatih anak berpuasa, lakukanlah ia dengan penuh hikmah. Elakkan memaksa dengan keras sehingga kewajipan lain seperti solat dianggap ringan oleh anak-anak.
Akhir sekali, jika anak tidak mampu berpuasa, jangan sesekali mengejek, mengungkit atau memalukan anak yang tidak berpuasa di hadapan orang lain. Ia boleh menjadikan mereka kurang yakin diri dan tidak mahu berpuasa lagi.