9 kaedah untuk murid mahir subjek Matematik
Panitia Matematik Sekolah Kebangsaan (SK) Rumbia, Alor Gajah, Melaka memperkenalkan sembilan kaedah kepada murid-murid dalam memastikan mereka dapat menguasai konsep dan kemahiran Matematik dengan mudah dan berkesan.
Kaedah-kaedah yang dikongsi panitia itu terdiri daripada Sifir Tulang Ikan; Kaedah Kira SEJA (SE - Sebut, JA - Jari); Kotak Pelbagai; Formula Mudah dan Nota Ringkas A+; Pembahagian Berpagar; Nombor Plat Persona Cikgu Yus; Jadual Tempoh; Kongsi-kongsi Ma...dan Jadual Penukaran Unit.
Menurut Ketua Panitia Matematik, Cikgu Mohd Yusazli Md Yusof, kaedah tersebut adalah sumbangan dan janaan idea daripada semua guru Matematik SK Rumbia.
Katanya, ia telah disebarluaskan kepada guru-guru Matematik di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Alor Gajah, Melaka sebagai salah satu kaedah penting untuk murid aliran prasekolah hingga aliran perdana (Tahun Satu hingga Tahun Enam) menguasai kemahiran Matematik.
Ujar beliau, sembilan kaedah yang diketengahkan itu merupakan salah satu aktiviti yang terdapat dalam program Perkongsian Amalan Terbaik Panitia Matematik.
"Objektif Perkongsian Amalan Terbaik Panitia Matematik ialah menekankan konsep dan kemahiran yang terkandung dalam Standard Pembelajaran yang mengutamakan penglibatan murid dalam pembelajaran.
"Malah, ia turut menekankan teknik dan kaedah yang terbaik agar mesra pengguna dan mengandungi unsur kecindan untuk menarik minat mereka menguasai sesuatu tajuk," tuturnya.
Sementara itu, kaedah-kaedah yang diperkenalkan oleh Panitia Matematik SK Rumbia boleh dilakukan dalam bilik darjah dengan menggunakan pelbagai bahan yang mudah diperoleh.
"Misalnya bagi kaedah Kotak Pelbagai. Murid-murid hanya perlu menggunakan beberapa helaian kertas untuk membina dan menghasilkan kotak sifir di atas kertas tersebut," akhiri Cikgu Mohd Yusazli.