Cara menulis RPH semasa peperiksaan
Ringkasan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) bagi setiap guru mungkin berbeza antara satu sama lain.
Ia disebabkan guru-guru perlu mengisi RPH tersebut berdasarkan mata pelajaran yang diajar di sekolah.
Kebiasaannya, isi kandungan RPH terdiri daripada pelbagai maklumat antaranya mata pelajaran, tarikh, hari, bidang pembelajaran, objektif, kriteria kejayaan, aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP), bahan bantu mengajar (BBM), elemen merentas kurikulum, tahap pemikiran, peta pemikiran i-Think, penilaian PdP, tahap penguasaan, penilaian dan refleksi.
Bagaimanapun, setelah Kementerian Pendidikan (KPM) membuat pengumuman terbaharu yang mana maklumat RPH yang perlu diisi hanyalah tiga elemen iaitu objektif, pengajaran dan refleksi, maka keseluruhan warga pendidik meluahkan rasa lega kerana KPM memahami kekangan masa para guru.
Cuma menjadi persoalannya di sini, jika pelajar sedang menduduki peperiksaan, bagaimana pula penulisan RPH dilakukan?
Adakah guru akan menulis RPH sama seperti sebelum ini?
Jom lihat contoh-contohnya!
Berdasarkan pemerhatian Sinar Bestari, ada sesetengah cikgu akan menulis RPH ‘seperti biasa’ mengikut jadual kelas.
Tidak kurang juga ada yang menulis seperti;
'Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPC) tidak dapat dijalankan kerana pelajar menjalani peperiksaan.'
Selain itu, ada juga barisan guru yang menampal jadual peperiksaan sebagai rekod.
Ia kerana cara tersebut menyenangkan kerja pendidik pada hari tersebut.
Kemudian, terdapat cikgu-cikgu yang menulis RPH berdasarkan ujian atau peperiksaan pada hari berkenaan.
Misalnya;
Tajuk: Bahasa Melayu Pemahaman
Objektif: Murid dapat menjawab dengan lancar mengikut masa yang telah ditetapkan.
Aktiviti (jika berkaitan):
- Guru mengedarkan kertas soalan kepada murid.
- Guru dan murid menerangkan peraturan menjawab soalan dan menyemak kertas soalan.
- Murid menjawab soalan.
- Guru mengutip kertas soalan dan mengiranya.
Refleksi: Murid-murid memahami segala info berkaitan kertas soalan peperiksaan.
Dalam pada itu, Sinar Bestari mengingatkan bahawa segala maklumat yang dipaparkan ini mungkin tidak sama bagi setiap sekolah.
Justeru, para guru haruslah menyiapkan RPH mengikut apa yang diinginkan oleh pihak sekolah.