Perkongsian Ustazah Aminah mengenai cara susunan fail untuk Calon Guru Cemerlang di negara ini.
Perkongsian Ustazah Aminah mengenai cara susunan fail untuk Calon Guru Cemerlang di negara ini.

Cara susunan fail bagi Calon Guru Cemerlang, ada 6 cadangan terbaik perkongsian Ustazah Aminah

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
09 Jun 2023 11:21pm

Kebelakangan ini makin ramai kumpulan pendidik yang tersenarai sebagai Calon Guru Cemerlang.

Berita diluar jangkaan tersebut sudah pastinya membawa kegembiraan yang tidak berbelah bahagi dan kebahagiaan kepada cikgu berkenaan.

Bagaimanapun perlu diingatkan yang terpilih sebagai Guru Cemerlang bukanlah semudah yang disangka.

Banyak perkara yang perlu dilakukan calon sebelum mereka menerima gelaran tersebut.

Berdasarkan pemerhatian Sinar Bestari antara perkara yang perlu dititikberatkan oleh cikgu-cikgu terpilih ini adalah menyusun fail yang berkaitan untuk proses penilaian oleh nazir.

Guru Cemerlang yang kini berkhidmat di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Petai, Alor Gajah, Melaka, Ustazah Aminah Mat Yusoff berkata, menyusun fail mungkin senang bagi sesetengah Calon Guru Cemerlang, namun tahukah anda terdapat beberapa cara penyusunan fail yang perlu diikuti mereka.

“Untuk membantu rakan-rakan guru, saya bersedia kongsikan cara susunan fail yang betul mengikut pengalaman yang pernah dilalui sebelum ini.

“Malah, susunan fail ini juga adalah berdasarkan rujukan daripada mereka yang pakar.

Artikel Berkaitan:

“Penyusunan fail ini tidak muktamad, ia bergantung kepada kreativiti cikgu masing-masing. Jika bersesuaian, bolehlah cikgu ikut,” ujar beliau dalam satu hantaran di laman Facebooknya baru-baru ini.

Jom ikuti cadangan penyusunan fail Ustazah Aminah khusus kepada Calon Guru Cemerlang di negara ini.

*****

Alhamdulillah segala puji bagi ALLAH, pemilik hati-hati kita. Yang meniup semangat dan motivasi kepada hamba-hambaNya yang berusaha.

Pengalaman ini saya kongsikan untuk sahabat-sahabat yang memerlukan.

Terima kasih kepada mentor yang banyak memberi bimbingan dalam penyusunan fail iaitu Ustazah Rohaizan Othman dan dua rakan seperjuangan yang banyak berkongsi idea iaitu Guru Cemerlang, Ustazah Syida dan Ustazah El Alma Al-Aire.

Penyusunan fail ini tidak muktamad, ia bergantung kepada kreativiti cikgu masing-masing. Ini hanya sebagai panduan sahaja.

Atas nasihat dan bimbingan mentor, saya wujudkan enam fail utama iaitu;

1) Muka Depan Fail

Mengandungi lencana sekolah, tajuk fail, gambar berukuran pasport, gred jawatan (DG) semasa dan alamat sekolah.

2) Fail Profil

Kandungannya;

a) Maklumat guru.

b) Senarai sumbangan peribadi dan kumpulan untuk membangunkan kompetensi sebagai guru.

Contohnya penyelidikan, bahan penulisan dan pengkaryaan serta bukti dalam bentuk kod QR dan sebagainya.

c) Senarai sumbangan profesional dan bukan profesional.

d) Peningkatan akademik.

3) Fail Penglibatan dan Sumbangan (Dokumentasi)

Dalam fail ini masukan gambar setiap aktiviti yang dijalankan. Susun beberapa keping gambar dan tulis tajuk serta tarikh program itu dilaksanakan.

Setiap dokumentasi itu di susun bermula peringkat sekolah, daerah, negeri, kebangsaan, ASEAN dan antarabangsa

4) Fail Penglibatan dan Sumbangan (Sijil)

Fail mengandungi sijil-sijil, bukti sumbangan dan penglibatan kita.

Setiap sijil disusun mengikut turutan yang sama dengan fail dokumentasi tadi baru nampak kesinambungan antara fail-fail ini. Bermula peringkat sekolah, daerah, negeri, kebangsaan, ASEAN dan antarabangsa.

5) Fail Inovasi

Fail ini berkaitan dengan inovasi yang pernah kita hasilkan termasuk kajian tindakan, gambar, surat-menyurat dan mungkin ada data-data pencapaian murid setelah menggunakan inovasi kita.

Saya sediakan satu meja untuk pamerkan bahan inovasi dan segala yang berkaitan dengannya.

6) Fail Hal Ehwal Murid (HEM), Kokurikulum dan Kokurikulum

Susun surat-menyurat dan jawatan, sumbangan dan penglibatan kita dalam bidang berkenaan.

Akhir sekali, tahniah diucapkan kepada sahabat-sahabat yang mendapat panggilan untuk pemantauan daripada pihak nazir.

Usaha sehabis baik, yakin dengan diri sendiri dan niatkan segalanya kerana ALLAH.

Saya doakan moga ALLAH permudahkan urusan sahabat semua dan beroleh kecemerlangan di dunia dan akhirat.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp