
Dapat peluang kerja ke luar negara
Pelajar buka mata bahawa ilmu kemahiran bernilai tinggi di pasaran global
Masih ramai yang menyangka Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) hanyalah pilihan terakhir atau kedua bagi mereka yang tidak cemerlang akademik.
Namun, persepsi itu semakin lapuk apabila ribuan pelajar TVET kini membuktikan kemampuan luar biasa.
Ia bukan sekadar laluan alternatif tetapi merupakan pilihan utama bagi mereka yang mahu membina kerjaya dengan kemahiran tangan, kepakaran teknikal dan kebolehan sebenar yang diperlukan industri.
Pelajar Diploma Kompetensi Elektrik Kuasa (A1), Institut Kemahiran Mara (IKM) Johor Bahru, Johor, Muhammad Haziq Lailla Zamri, 21, berkata, setiap kemahiran yang dimiliki individu membuatkan mereka boleh pergi jauh dalam industri yang diminati.
“Bagi saya, kalau hendak sambung dalam bidang berkemahiran, silakan kerana paling penting seseorang itu perlu tahu ada minat dan kelebihan sendiri di mana.
“Ini kerana kemahiran bukan lagi kelas kedua atau jalan terakhir tetapi laluan utama bagi yang berkemahiran,” katanya secara eksklusif kepada Sinar Bestari.
Berkongsi tentang pengalaman menyertai industri TVET, Muhammad Haziq berkata, minat dan kebolehannya terhadap bidang kemahiran disokong oleh keluarga.
“Mereka tahu bagaimana minat dan cenderung saya terhadap kemahiran sebab itu, mereka menyokong setiap aktiviti yang dilakukan.
“Kawan-kawan juga tidak kisah kerana mereka seperti sudah tahu hala tuju dan apa yang saya mahukan,” katanya lagi.
Ukir nama di pentas antarabangsa
Muhammad Haziq kini mengukir nama sebagai wakil Malaysia di pentas antarabangsa menerusi ASEAN Skills Competition (ASC) 2025 (bidang Electrical Installation) yang dijadualkan pada Ogos depan di Manila.

Anak kelahiran Batu Pahat itu adalah antara pelajar contoh di IKM Johor Bahru (IKMJB) yang berjaya mempamerkan kecemerlangan dalam akademik dan kokurikulum.
“Saya pernah memenangi gangsa pada tahun 2023 dan Medallion for Excellence 2024 dalam Pertandingan World Skills Malaysia Belia (WSMB). “Seterusnya, dapat mewakili negara di Pertandingan Worldskills ASEAN Manila, Filipina 2025.
“Sekiranya menang dan terpilih, insya-ALLAH saya akan sambung lagi dengan Worldskills ASIA di Taiwan pada bulan 11 ini dan di Shanghai, China pada tahun 2026.
“Kemudian, barulah akan fikir untuk sambung belajar dalam bidang sama iaitu Chargeman A4 bagi menaiktaraf kompeten saya,” katanya.
Campaklah ke mana sahaja
Bidang TVET membuktikan setiap pelajar berkemahiran semestinya mendapatkan tempat dalam industri pekerjaan.
Buktinya, bekas graduan Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (Polimas) dalam bidang Diploma Mekanikal (Plastik), Rahimi Abd Rashid berjaya memperluaskan pengalaman dan kemahirannya di Australia.
Anak kelahiran Kelantan yang bekerja dalam industri pembuatan simen mengakui menghadapi banyak jatuh dan bangun sehingga terpaksa diberhentikan kerja pada tahun 2023.
“Selepas diberhentikan, saya ambil keputusan bekerja sambilan sebagai penghantar makanan.

“Sementera bekerja sambilan ini, saya mencari kerja baharu. Namun dengan umur yang sudah 40-an, saya pasti tiada syarikat yang mahu mengambil saya bekerja,” katanya.
Tidak mengenal erti penat dan lelah, Rahimi yang berterusan mencari pekerjaan meminta pertolongan dari agensi pekerjaan. Dengan bantuan agensi itu, bapa kepada tiga orang anak tersebut mengambil ujian kelulusan untuk bekerja di luar negara.
“Ketika itu, ramai fikir saya akan berputus asa kerana tiada pendapatan tetap. Yuran peperiksaan pula RM850, jadi perlu bekerja keras untuk lulus.
“Ketika itu, rezeki tidak memihak kepada saya. Saya gagal dalam ujian pertama dan perlu ulang semula dengan kos yang sama,” katanya.
Disebabkan Rahimi begitu bersemangat untuk bekerja dalam bidang TVET, alumni Polimas itu akhirnya berjaya bekerja di kilang simen, Australia.
Ia membuktikan TVET bukan sekadar laluan alternatif tetapi platform masa depan untuk melangkah lebih jauh.