Jom 'healing' dengan lima permainan tradisonal ini
Musim peperiksaan kembali lagi dimulai Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA).
Buat masa sekarang, tentunya masing-masing mengulang kaji pelajaran untuk memperkukuhkan pemahaman dan ingatan sekali gus mampu menjawab peperiksaan dengan mudah.
Dalam kesungguhan membaca buku, para calon dinasihatkan untuk mendapatkan rehat secukupnya sebelum menduduki peperiksaan masing-masing.
Ia kerana, rehat yang sempurna dan lengkap adalah kunci untuk kesihatan fizikal dan mental.
Tahukah adik-adik, terdapat beberapa permainan tradisional yang mampu membantu calon menenangkan fikiran dan meningkatkan konsentrasi (tumpuan perhatian atau fikiran) dalam peperiksaan.
Sinar Bestari senaraikan lima permainan yang boleh pelajar cuba.
1) Batu seremban
Permainan batu seremban boleh dikatakan sebagai metafora bahawa pembelajaran adalah proses untuk meningkatkan kemampuan diri sendiri yang perlu diulang-ulang setiap kali untuk mahir.
Bermain batu seremban juga membantu untuk menajamkan daya fokus dan melonggarkan otot pergelangan tangan setelah penat menulis. Ini juga merupakan kaedah yang baik menghindari sindrom carpal tunnel ketika peperiksaan!
2) Kejar-kejar
Boleh dilakukan paling kurang 10 minit untuk memacu adrenalin dalam tubuh yang akan membantu mengepam otak dengan darah dan membuat kita segar serta bersemangat untuk belajar.
3) Congkak
Congkak melatih tumpuan individu dan membantu pelajar mengira dengan lebih pantas sekali gus membantu anda mahir Matematik.
4) Teng-teng
Cubaan untuk mengimbangkan badan pada satu kaki sambil melompat juga boleh melatih daya fokus.
5) Perang Pemadam
Permainan ini boleh dimainkan ketika mengulang kaji pelajaran seorang diri. Hanya perlukan beberapa minit untuk bermain dan kemudian, anda akan terus bersemangat untuk belajar.