Pening dengan PTPTN? Berikut 5 cara langsaikan hutang pinjaman yang boleh graduan praktikkan
Berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang adalah satu kepuasan bagi semua graduan.
Ini kerana liku-liku menghabiskan pembelajaran cukup memenatkan apatah lagi dunia pendidikan hari ini begitu mencabar dalam pelbagai aspek.
Bagaimanapun, suka Sinar Bestari ingatkan kepada graduan hari ini, masih banyak lagi cabaran perlu dilalui mereka seusai tamat pengajian.
Antaranya menyelesaikan baki pinjaman yang dibuat ketika pengajian di institut pengajian tinggi (IPT) awam serta swasta dan antara pinjaman popular adalah melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
PTPTN adalah sebuah agensi Kementerian Pendidikan (KPM) yang menawarkan bantuan kewangan dalam bentuk pinjaman kepada penuntut yang melanjutkan pengajian ke IPT awam mahupun swasta.
Beberapa pakej pinjaman ditawarkan bergantung kepada jurusan yang diambil oleh mahasiswa.
Dalam konteks melangsaikan pinjaman PTPTN pula, Sinar Bestari senaraikan lima tip penting yang graduan wajib praktikkan ketika ini.
Tip penting tersebut terdiri daripada
1) Keluarkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Sekiranya ada dalam kalangan graduan sudah bekerja, sudah semestinya gaji bulanan telah dibuat potongan KWSP.
Tahukah anda, wang KWSP dalam akaun dua boleh digunakan untuk membayar hutang PTPTN?
Melalui kaedah ini, graduan akan rasa kurang bebanan kerana menggunakan simpanan daripada titik peluh sendiri tanpa bantuan orang lain.
Untuk makluman, pengeluaran akaun dua boleh digunakan untuk bayaran tertentu sahaja dan wang tidak boleh dibelanjakan sewenang-wenangnya.
Apabila pengeluaran dilakukan, ada beberapa kelebihan yang dinikmati graduan antaranya tiada caj pemprosesan; tiada had pengeluaran selagi masih mempunyai baki dalam akaun dua; penjimatan kos upah dan pentadbiran serta pemendekan tempoh bayaran balik.
2) Tabungan simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB)
Pelaburan dalam ASB memerlukan graduan bersikap kuat menabung. Lazimnya, akaun ASB ini didaftarkan oleh ibu bapa masing-masing sejak sekolah rendah lagi.
Ini kerana ada ibu bapa yang gemar menyimpan duit raya anak mereka ke dalam akaun pelaburan ini. Setiap tahun, dividen yang diperolehi agak lumayan dan boleh disalurkan untuk pembayaran PTPTN.
Bayangkan, jika graduan sentiasa konsisten membuat bayaran balik kepada PTPTN setiap bulan, tidak mustahil mereka boleh melunaskan hutang PTPTN kurang daripada lima tahun.
3) Simpanan ketika menuntut di IPT
Graduan sebenarnya boleh merancang perbelanjaan kewangan ketika masih belajar. Namun ia bergantung kepada ekonomi masing-masing.
Sekiranya graduan mendapat keputusan cemerlang ijazah kelas pertama, anda tidak perlu fikir tentang bayaran semula PTPTN.
Namun, jika rezeki tidak menyebelahi dari segi pelajaran, graduan perlu berjimat-cermat dan mengurus kewangan dengan bijak untuk melangsaikan pinjaman PTPTN.
4) Cari pendapatan sampingan
Bagi sesetengah penuntut IPT yang menuntut di kolej atau universiti swasta, kos sara hidup mereka pasti tinggi.
Oleh itu, pinjaman mereka juga menjadi tinggi. Jadi, graduan perlu kreatif mencari pendapatan sampingan supaya hutang PTPTN dapat diselesaikan dalam masa yang singkat.
Antara pekerjaan sampingan yang boleh dilakukan ialah menjadi ejen produk, bekerja di pasar raya dan terlibat dalam ekonomi gig seperti penghantaran makananan.
Jika graduan sudah mempunyai pekerjaan tetap, anda masih boleh meneruskan kerja sambilan.
5) Rebut inisiatif bayaran balik PTPTN
PTPTN menggalakkan usaha bayaran balik kepada para peminjam dengan menyediakan beberapa tawaran menarik yang wajar direbut.
Misalnya tahun ini, kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan dua inisiatif iaitu pemberian diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN sehingga 20 peratus selama tiga bulan mulai 1 Mac 2023 dan pemberian penangguhan bayaran balik kepada peminjam berpendapatan bulanan RM1,800 ke bawah untuk tempoh enam bulan dan permohonan penangguhan boleh dibuat mulai 1 Mac 2023.
Kesimpulannya, sekiranya graduan berkemampuan untuk membayar hutang, khususnya PTPTN, anda bolehlah membuat pembayaran supaya nama tidak disenarai hitam.
Ini juga penting demi kelangsungan pembiayaan pendidikan kepada generasi akan datang.