
Skrabel bukan sekadar permainan, Malaysia bukti minda anak muda kelas dunia!
Malaysia sekali lagi mencatat sejarah apabila berjaya menjadi tuan rumah Kejuaraan Skrabel Remaja Dunia (WYSC) 2025 yang berlangsung di Sekolah Antarabangsa Sri Kuala Lumpur, Subang Jaya dari 30 Ogos hingga 1 September lalu.
Lebih 200 peserta muda dari 17 negara berentap dalam kejohanan berprestij ini, mempamerkan kepintaran berbahasa dan strategi minda yang mendebarkan. Pertandingan dijalankan sebanyak 24 pusingan dengan kawalan masa ketat, mirip perlawanan catur yang penuh fokus.
Edisi kali ini menyaksikan pemain India, Madhav Gopal Kamath, muncul juara dunia selepas mencatat 21 kemenangan dengan kelebihan 2,354 mata. Naib juara dimenangi Abdulqudus Olawale Aliu dari Nigeria, manakala tempat ketiga menjadi milik Aehzam Ahmed dari Pakistan.

Malaysia turut berbangga apabila tiga wakil muda negara berjaya menaiki podium. Grayson Ling Dao Xu dinobatkan sebagai Juara Bawah-12, diikuti rakan sepasukan Nathan Tan Rui Ern selaku Naib Johan Bawah-12. Sementara itu, Amelia Goh Hui Neo menambah koleksi pingat dengan tempat ketiga kategori Bawah-14. Secara keseluruhan, kontinjen Malaysia menamatkan saingan di kedudukan kelima dunia.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang merasmikan kejohanan, menegaskan bahawa skrabel adalah lebih daripada sekadar permainan kerana ia mampu menyatukan generasi muda melalui cabaran intelektual.
Beliau turut berkongsi bahawa skrabel kini diiktiraf sebagai salah satu daripada 103 sukan rasmi negara, membolehkan pemain menuntut pelepasan cukai bagi perbelanjaan berkaitan.
Malaysia sememangnya mempunyai tradisi cemerlang dalam arena skrabel remaja dunia, termasuk pernah melahirkan Juara Dunia Remaja (2009, 2010), Juara Bawah-8 (2019), Juara Bawah-10 (2023 dan 2024), serta pemenang anugerah khas pemain wanita terbaik (2024).
Presiden Persatuan Skrabel Malaysia (MSA), Mohammad Ali Ismail merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan kejohanan.
Katanya, WYSC 2025 bukan sekadar tentang kemenangan, tetapi juga meraikan persahabatan, semangat kesukanan dan minat mendalam terhadap permainan minda ini.
Kejayaan penganjuran WYSC 2025 membuktikan Malaysia semakin kukuh sebagai hab sukan minda serantau serta mampu melahirkan generasi muda yang berani bersaing di pentas dunia.