Muhammad Muaz melahirkan rasa syukur kerana menjadi satu-satunya wakil Malaysia dalam persidangan yang turut dihadiri 178 delegasi dari seluruh dunia.
Muhammad Muaz melahirkan rasa syukur kerana menjadi satu-satunya wakil Malaysia dalam persidangan yang turut dihadiri 178 delegasi dari seluruh dunia.

Pelajar Malaysia sertai HPAIR Asia Conference 2025 di Tokyo! Hebat anak muda

03 Sep 2025 12:23pm

Nama Malaysia kembali bergema di pentas antarabangsa apabila seorang pelajar, Muhammad Muaz Mohd Fariz terpilih mewakili Malaysia ke Harvard Project for Asian and International Relations (HPAIR) Asia Conference 2025 yang berlangsung di Universiti Tokyo, Jepun pada 20 hingga 24 Ogos lalu.

Difahamkan, pelajar Tahun Akhir jurusan Pengajian Antarabangsa (major Undang-undang Antarabangsa) di Utsunomiya University, Jepun itu sedang melanjutkan pengajian di bawah Biasiswa Kerajaan Malaysia sekali gus berpeluang menyertai persidangan tersebut yang kembali diadakan di Jepun selepas 11 tahun.

Muhammad Muaz melahirkan rasa syukur kerana menjadi satu-satunya wakil Malaysia dalam persidangan berkenaan bersama-sama 178 delegasi dari seluruh dunia.

Katanya, ini bukan sekadar peluang untuk menimba ilmu, tetapi juga amanah membawa suara belia Malaysia di pentas global.

Selain mewakili Malaysia, Muhammad Muaz turut membawa jenama Youth Strength & Happiness (YOSH) iaitu sebuah platform sosial belia yang aktif dalam pembangunan kepimpinan dan kolaborasi antarabangsa.

No Image Caption

Menurutnya, penyertaan itu menjadi bukti bahawa YOSH semakin diiktiraf dan mampu mencipta kredibiliti antarabangsa melalui jaringan dan penglibatan dalam program berprestij dunia.

Artikel Berkaitan:

"Setiap aktiviti yang saya sertai di HPAIR menonjolkan bagaimana belia Malaysia mampu berdiri sama tinggi dengan rakan-rakan antarabangsa.

"Malah, kehadiran saya di sini memberi peluang untuk YOSH menambah nilai dan reputasi sebagai platform belia Malaysia yang berdaya saing," katanya.

Sementara itu, Muhammad Muaz berkata, dia menyertai pelbagai modul utama sepanjang lima hari mengikuti HPAIR antaranya Keynote SpeechSeminar SessionInternational Night (I-Night) untuk pertukaran budaya, sesi Networking dan modul paling mencabar iaitu Impact Challenge.

Dalam modul Impact Challenge, para delegasi dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan diberikan cabaran sosial sebenar di Jepun yang memerlukan mereka merangka solusi dasar dalam tempoh kurang daripada sehari.

Panel penilai terdiri daripada tokoh-tokoh terkemuka termasuk Presiden International Institute for Strategic Studies (IISA) Jepun, sebuah think tank terkemuka Jepun yang turut mempertimbangkan idea terbaik untuk diterbitkan dan dibawa ke skala dasar sebenar.

Bagi Muhammad Muaz, pengalaman tersebut memberi gambaran jelas bagaimana think tank berfungsi dalam membentuk dasar awam.

No Image Caption

"Meskipun kumpulan saya tidak berjaya mara ke pusingan akhir, pengalaman ini persis simulasi think tank seperti ISIS Malaysia dan institusi seumpamanya.

"Saya sedar, dalam era globalisasi dasar awam harus dibentuk secara pantas, tepat dan berfakta, hasil daripada kolaborasi serta inovasi. Ia benar-benar mengasah kemampuan berfikir kritis, berstrategi dan bekerjasama dengan pelbagai latar belakang," ujarnya.

Dalam pada itu, Muhammad Muaz berkongsi beberapa pengalaman menarik dalam HPAIR yang banyak memberinya pengajaran mendalam.

1) Pemahaman sebenar think tank: Saya dapat merasakan tekanan dan peluang dalam merangka dasar yang praktikal dalam masa singkat dan selalunya menjadi asas wawasan think tank tempatan.

2) Persiapan awal akademik: Walaupun masih di Jepun, saya ingin mempersiapkan diri untuk menyumbang secara intelektual pada wacana negara selepas kembali ke Malaysia.

3) Rangkaian global: Saya bertemu pelajar dan profesional dari pelbagai negara dan menambah perspektif terhadap dasar sosial, ekonomi dan teknologi global.

4) Semangat inovasi budaya dan teknologi: Tema konferensi menekankan bagaimana budaya dan inovasi boleh berpadu dan ini memberi inspirasi bagaimana Malaysia boleh menerapkan pendekatan serupa dalam dasar inklusif.

No Image Caption

Terdahulu, sejak ditubuhkan pada tahun 1991, HPAIR telah menjadi platform global penting yang menghimpunkan pemimpin muda termasuk mahasiswa dan profesional untuk membincangkan isu-isu utama rantau Asia Pasifik melalui syarahan utama, sesi seminar dan cabaran simulasi dasar. 

Bagi edisi tahun ini, persidangan mengetengahkan tema Reinventing Vitality: Momentum and Memory yang menyoroti bagaimana inovasi teknologi dapat digabungkan dengan warisan budaya demi membentuk masa depan yang lebih inklusif dan lestari.

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp