Zainatul Syakira Amira (kanan) menunjukkan cara penggayaan makanan kepada pelajarnya.
Zainatul Syakira Amira (kanan) menunjukkan cara penggayaan makanan kepada pelajarnya.

Mendidik bukan sekadar kerjaya

Perkongsian pensyarah muda terlibat dalam bidang pendidikan

QURRATUL AINA QUDDUSQURRATUL AINA QUDDUS
16 Jun 2025 12:43pm

Menjadi seorang pendidik bukanlah keputusan mengikut gerak hati, namun ia lahir daripada persekitaran yang sarat dengan nilai ilmu dan semangat mendidik.

Begitu juga pengalaman yang dikongsikan pensyarah muda, Nurul Husna Anuar, 27, yang dibesarkan dalam keluarga pendidik.

“Saya dibesarkan dalam keluarga pendidik. Ayah seorang guru, bapa dan ibu saudara juga seorang pensyarah, malah sepupu saya ramai yang bergelar guru dan pensyarah.

“Sejak kecil, saya sudah terbiasa melihat jadual mengajar, buku latihan yang bertimbun dan perbualan penuh nasihat tentang anak didik mereka.

Nurul Husna (duduk, dua dari kiri) bersemangat mengajar meskipun para pelajar sebaya dengannya.
Nurul Husna (duduk, dua dari kiri) bersemangat mengajar meskipun para pelajar sebaya dengannya.

“Persekitaran ini menjadikan saya sudah terbiasa dengan dunia pendidikan dan menyemai semangat untuk menyambung legasi keluarga dalam bidang ilmu,” katanya secara eksklusif kepada Sinar Bestari.

Pengaruh itu secara tidak langsung membentuk cara pemikiran seseorang untuk menyemai rasa tanggungjawab dan cinta terhadap ilmu. Malah, setiap langkah dalam kehidupan Nurul Husna seakan-akan ditunjukkan jalan untuk terus menyambung legasi, bukan sekadar bekerja, namun untuk membina insan.

Inspirasi ‘umat Islam perlu cemerlang’

Artikel Berkaitan:

“Saya terinspirasi dengan kata-kata masyarakat iaitu umat Islam perlu cemerlang”.

Ungkapan itu bukan sekadar slogan kosong yang diulang-ulang, namun menjadi prinsip hidup yang membentuk cara berfikir, bertindak dan bermatlamat. Itulah kata-kata yang dipegang Nurul Husna bagi meneruskan impian sepanjang bergelar pendidik yang telah memasuki tahun ketiganya dalam dunia akademik tersebut.

Dalam setiap langkah kerjaya, khususnya dalam bidang pendidikan dan dunia akademik, dia meyakini bahawa kecemerlangan bukan tentang pencapaian peribadi, namun untuk menyumbang kepada ummah serta membina legasi ilmu yang bermanfaat.

“Ia mendorong saya untuk menyumbang dalam bidang pendidikan kerana saya percaya mendidik adalah satu bentuk jihad intelektual,” katanya yang juga seorang pensyarah bidang perniagaan dan pemasaran di Kolej Polytech Mara, Ipoh, Perak.

Mesra mendidik, tegas membentuk

Bersikap santai dan mesra dengan pelajar antara personaliti yang perlu diterapkan oleh golongan pensyarah muda kerana perbezaan umur yang tidak terlalu jauh.

Kehadiran pensyarah Gen Z iaitu Zainatul Syakira Amira Zaini, 23, memberi nafas segar dalam suasana pembelajaran kerana mereka bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi membina hubungan dua hala yang lebih terbuka dan progresif bersama pelajar. “Saya menggunakan konsep, ada masa berkawan dan ada masa perlu serius.

Zainatul Syakira mengajar teori tentang masakan kepada pelajarnya yang rata-rata hampir seusia dengannya.
Zainatul Syakira mengajar teori tentang masakan kepada pelajarnya yang rata-rata hampir seusia dengannya.

“Setiap langkah yang pensyarah buat pasti dipandang oleh pelajar. Lebih-lebih lagi kalau kita tersalah langkah, mesti akan dipandang serong,” katanya yang juga Pegawai Penilai Kursus Seni Kulinari di Silverspoon International College.

Realiti menunjukkan bahawa pensyarah Gen Z bukan sekadar pendidik, namun sebagai mentor, pendengar dan teladan yang perlu memahami denyut nadi generasi pelajar kini.

Zainatul Syakira Amira mengakui dia meneruskan impian untuk menjadi pensyarah disebabkan impian ibu yang tidak tercapai untuk bergelar seorang guru.

“Saya sebagai anak sulung memang berhasrat untuk mewujudkan impiannya. Disebabkan itulah, saya menyambung pelajaran di Pusat Latihan Mengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST).

“Selepas tamat belajar di Kolej Vokasional Kuala Kangsar dulu, saya cari pengalaman bekerja di industri selama dua tahun, tetapi umi (ibu) memujuk untuk menjadi pensyarah,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp