Tukang besi, pewaris seni tradisi. Potensi tinggi seni kraf logam
Seni pertukangan logam menjadi antara warisan tradisi yang masih kekal sehingga hari ini.
Dengan teknik-teknik pembuatan secara tradisional, ia menyerlahkan lagi kreativiti tukang logam dalam penghasilan karya melalui teknik penghapusan lilin, tempa, memahat dan pintalan dawai.
Bahkan, bahan dan alat kelengkapan membantu tukang kraf logam terus berkarya memastikan seni warisan tersebut berkekalan untuk diwarisi generasi masa hadapan.
Institut Kraf Negara (IKN) merupakan antara institusi pengajian di negara ini yang menawarkan program-program Seni Kraf Logam kepada pelajar-pelajar.
Tradisi dan kontemporari
Ketua Jabatan Seni Kraf Logam IKN, Mohd Sazali Mohd Yusop berkata, program yang ditawarkan terbahagi kepada tiga iaitu Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), sijil dan diploma.
“Keunikan program-program yang ditawarkan adalah ia menekankan pembelajaran kemahiran tradisonal dan kontemporari.
“Antara teknik yang diguna pakai dalam silibus termasuk membentuk, memahat dan •investment•.
“Selain itu, kita masih mengekalkan teknik tradisi menggunakan acuan tulang sotong terutamanya perhiasan diri seperti cincin, loket dan keronsang,“ ujar bekas graduan IKN tersebut.
Beliau yang pernah menjadi hakim di World Skill Malaysia Belia (WSMB) menambah, mereka yang ingin melanjutkan pengajian dalam bidang logam tersebut tidak perlu memiliki kemahiran spesifik.
Lelaki berusia 41 tahun itu menjelaskan, IKN akan mengajar daripada asas untuk mengasah mahasiswa-mahasiswa berkenaan.
“Zero to Hero merupakan pendekatan yang digunakan dalam membentuk modal insan di IKN ini,“ ujarnya.
Kebolehpasaran graduan
Mengulas mengenai peluang kerjaya graduan program Seni Kraf Logam, Mohd Sazali memberitahu, kebanyakan graduan-graduan IKN menerima ‘lamaran‘ daripada pemain industri sebelum mereka menamatkan pengajian.
“Mungkin ramai ibu bapa mahupun lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak mengetahui potensi seni kraf logam ini.
“IKN menawarkan kemahiran asas pembikinan barangan kemas ataupun perhiasan diri menjadikan para graduan sentiasa mendapat perhatian pemain-pemain industri yang ingin mendapatkan kepakaran mereka,“ katanya.
Dia menambah, program-program IKN mengaplikasi pengetahuan teori dan amali secara sistematik.
Selain itu, dia berkata, pendekatan tradisional dan kontemporari yang digunakan dapat melahirkan modal insan berkemahiran teknikal tinggi dalam penghasilan kerja seni kreatif serta inovatif.
“Graduan-graduan juga berpeluang menceburi bidang penolong kurator, pereka, juruteknik seni, penolong pensyarah, penyelia pengeluaran malah membangunkan perniagaan sendiri.
“Biarpun IKN ingin melahirkan usahawan-usahawan kraf yang berjaya tetapi tidak mengetepikan graduan-graduan untuk terus menimba ilmu sehingga peringkat tertinggi di institut pengajian tinggi (IPT) tempatan,“ tuturnya lanjut.
Mohd Sazali menambah, graduan-graduan yang dilahirkan di IKN merupakan penyambung warisan tradisi turun-temurun untuk generasi masa hadapan.
Penyambung warisan
Dalam pada itu, Shahril Fitri Abd Rahim yang mengikuti pengajian Diploma Seni Kraf Logam IKN berkata, dia mengikuti pengajian berkenaan kerana ingin menyambung tradisi keluarga.
“Sebagai anak kepada usahawan pewter, saya ingin mendalami ilmu seni kraf logam agar dapat membantu mempelbagaikan lagi produk bapa.
“Saya mendapati seni kraf logam mempunyai pasaran tersendiri dan kepelbagaian produk dengan gabungan tradisi serta kontemporari dapat menarik lebih ramai penggemar produk logam,“ ujar lelaki berusia 20 tahun itu.
Tuturnya, dia berharap dapat merealisasikan impian tersebut apabila menamatkan pengajian kelak.
Sementara itu, Nur Aisyah Yurman, 20, memberitahu, dia sangat bertuah kerana dapat mempelajari seni kraf logam terutama dalam pembuatan barang kemas.
Dia menambah, ia berikutan seni kraf pembuatan barang kemas sangat sebati dengan jiwa golongan Hawa.
“Saya dapat berkarya dengan menggabungkan seni tradisional dan moden untuk menjadikan produk-produk lebih menarik bersesuaian dengan peredaran masa hari ini.
“Dalam memperoleh ilham pula, saya banyak melakar sesebuah karya di lembaran kertas terlebih dahulu sebelum diterjemahkan menjadi produk,“ ujarnya yang meminati seni lukisan.
Katanya, dia ingin membawa seni kraf tradisi negara ini sehingga peringkat tertinggi satu hari nanti.
Info
Jurusan Seni Kraf Logam Institut Kraf Negara (IKN) menawarkan tiga program iaitu Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), sijil dan diploma.
Antara subjek yang akan dipelajari termasuk asas seni; asas lukisan; pemikiran kreatif; sejarah seni kraf tradisional; teknik dan aplikasi tradisional serta kontemporari; rekaan logam; penulisan laporan dan latihan industri.
Selain menjadi usahawan kraf logam, graduan boleh ceburi bidang ini sebagai penolong kurator, pereka, juruteknik seni, penolong pensyarah, penyelia pengeluaran kanan, pengajar kraf, penolong pegawai latihan vokasional, penolong pegawai latihan, penolong pegawai penyelidik serta pelbagai kerjaya setaraf dengan diploma dari institut pengajian tinggi awam (IPTA).
Para graduan berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah di institut pengajian tinggi (IPT) tempatan (tertakluk kepada syarat am kemasukan ke IPT).