"Sangat beruntung pelajar yang memiliki kepakaran dalam bidang kemahiran. Ini kerana, mereka akan menjadi rebutan pihak industri dan masa depan sangat cerah,” kata Cikgu Mohd Fuad Mohd Arshad.
"Saya akui, dahulu bidang kemahiran dipandang rendah oleh masyarakat. Masing-masing mengutamakan akademik dan mengharapkan anak-anak dapat melanjutkan pelajaran ke universiti.
"Tetapi kini, kemahiran menjadi salah satu keutamaan. Ibu bapa mula menghantar anak-anak ke pusat kemahiran kerana yakin peluang pekerjaan yang semakin meningkat,” ujarnya kepada GPSBestari.
[caption id="attachment_27176" width="400"] Cikgu Mohd Fuad[/caption]
Sebelum bergelar pendidik, Cikgu Mohd Fuad terlebih dahulu menimba pengalaman dalam bidang Kejuruteraan (Elektrik).
Merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Elektrik) dari Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor, Cikgu Mohd Fuad pernah bekerja sebagai jurutera projek di beberapa buah syarikat.
Baca juga Refleksi PdPR, ini yang dikongsi Guru Cemerlang SK Seri Puteri
Baca juga Hadapi masalah kewangan, 2 pelajar terima sumbangan UMK
"Setelah beberapa tahun menjadi jurutera, saya memilih untuk menyambung pengajian peringkat Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak, selama dua tahun.
"Selepas tamat belajar, saya berkhidmat di beberapa buah sekolah sehinggalah sekarang di SMK Convent Green Lane sebagai guru RBT,” tuturnya yang memilih kerjaya guru kerana mahu mengejar cita-citanya.
Dulu KHB sekarang RBT
Bermula 2017, mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu (KHB) telah ditukarkan kepada RBT dan Asas Sains Komputer (ASK).
RBT subjek wajib yang menggantikan KHB manakala ASK adalah pilihan.
Sebagai guru RBT, jelas Cikgu Mohd Fuad, pelbagai kemahiran dan pendedahan telah pelajar perolehi sepanjang berada di sekolah.
"Dalam RBT, pelajar mempelajari kemahiran yang pelbagai manakala ASK fokus kepada pengaturcaraan dan penghasilan aplikasi-aplikasi komputer,” katanya.
Kongsi beliau, pelajar Tingkatan Dua (yang mengikuti RBT) akan didedahkan dengan aplikasi teknologi pembuatan, elektrik, mekanikal, elektronik, akuaponik dan makanan. Kebanyakan modulnya memerlukan pelajar merancang reka bentuk produk dan mewajibkan mereka menghasilkan barangan sebenar ataupun mock-up.
[caption id="attachment_27175" width="600"] Bersama pelajar SMK Sri Aman, Sarawak ketika mengajar pada tahun 2014 – 2018.[/caption]
Bagi Tingkatan Tiga pula, pelajar didedahkan dengan reka bentuk mekatronik dan pemasaran. Mereka belajar mikropengawal dan bahasa pengaturcaraan sama ada menggunakan komponen sebenar atau melalui simulasi aplikasi dan perisian yang bersesuaian.
Sekiranya pelajar berjaya menguasai subjek ini, mereka dengan mudah dapat meneroka bidang-bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), contohnya mekatronik.
"Teknologi hari ini banyak berasaskan aplikasi-aplikasi telefon bimbit.
"Guru perlu menggalakkan pelajar sehingga mereka mampu menghasilkan aplikasi yang memanfaatkan orang ramai dan boleh dijual. Kecanggihan teknologi sekarang perlu didedahkan dan diajar di sekolah-sekolah dalam subjek RBT,” katanya.
Kerjaya yang pelbagai
Banyak negara maju telah lama menjadikan TVET sebagai alternatif dalam sistem pendidikan mereka.
"Ingin saya tekankan di sini, subjek RBT di Tingkatan Satu, Dua dan Tiga hanya memfokuskan pengenalan kepada kemahiran teknikal sesuai dengan revolusi industri 4.0.
"Maksudnya di sini, bekerja dalam bidang teknikal, pelajar perlu meneroka lebih mendalam dan memberi tumpuan kepada bidang-bidang tertentu yang diminati sama ada mekanikal, elektrik, elektronik, kawalan dan pengaturcaraan, fesyen, pertanian atau kulinari.
Ikuti juga kami di:
Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/
Twitter: https://twitter.com/GPSBestari
Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/
"Banyak kerjaya sesuai untuk mereka yang mahir dalam kemahiran masing-masing seperti jurutera elektrik, pereka grafik, pereka fesyen dan banyak lagi. Jadi, tidak akan timbul isu graduan berkemahiran ‘akan menganggur’,” katanya dengan menambah subjek RBT ibarat pencetus kepada minat pelajar dalam bidang TVET dan keusahawanan.
Pelajar yang serasi dengan kandungan pembelajaran tertentu boleh memilih untuk ke Kolej Vokasional terutamanya selepas Tingkatan Tiga.
INFO
Nama: Mohd Fuad Mohd Arshad
Umur: 38 tahun
Asal: Pulau Pinang
Adik beradik: Anak keenam daripada tujuh beradik
Hobi: Menulis dan bersukan
Idola: Nabi Muhammad
Pencapaian:
- Duta Guru - Yayasan Petronas (2021)
- Young Innovators Challenge International Level - TOP 20 - Guru Pembimbing (2019)
- Young Innovators Challenge State level - GOLD MEDAL - Guru Pembimbing (2018)
- Sepak takraw MSSM Sarawak Peringkat Negeri 15 & 18 TKB - Jurulatih Bahagian Sri Aman (2014-2018)
- Pesta Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan (PSKPP) - Atlet (2014-2018)