Semakan status kelulusan permohonan pertukaran guru menerusi eGTukar sudah pun diumumkan.
Kebanyakan daripada mereka akan mula bertugas pada 3 Januari 2022 di sekolah yang dimohon sebelum ini.
Dalam konteks ini, apakah persediaan yang telah dilakukan oleh cikgu-cikgu berkaitan?
Adakah mereka sememangnya sudah tidak sabar untuk berkhidmat di sekolah baharu?
Penolong Kanan, Pusat Tingkatan Enam, Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Undang Musa Al-Haj, Jelebu, Negeri Sembilan, Cikgu Razali Saaran memberitahu, ada beberapa petua yang perlu diikuti oleh pendidik berkenaan.
"Petua ini bukan sahaja khusus untuk guru yang berjaya dalam eGTukar tetapi juga untuk pendidik yang baru bergelar cikgu.
"Ingin saya nasihatkan, sebagai orang baharu (walaupun ada sesetengahnya sudah bertahun-tahun menjadi pendidik), kita tetap menjadi orang baharu di sekolah tersebut.
"Justeru, mohon amalkan 10 petua ini untuk anda terus selesa dan bergembira bertugas di sekolah masing-masing,” ujarnya.
Ikuti 10 petua yang dikongsi Cikgu Razali ini.
1) Hormati guru-guru di sekolah baharu
Maksud saya, jangan kita buat tidak tahu apabila bertemu mata. Paling tidak senyumlah dahulu. Jika ada sedikit kekuatan, bertanyakan khabar mereka.
Kita perlu faham, orang lama di tempat baharu kita itu tetap senior walaupun mungkin kita lebih lama berkhidmat dalam dunia pendidikan. Tidak rugi bermanis muka sebagai tanda kita ini orang yang ada budi bahasa. Jika mahu dihormati dan disenangi, kita perlu tahu menghormati.
Baca juga SK Chopin buktikan yang kategori Sekolah Kurang Murid juga mampu cipta kejayaan luar biasa
Baca juga Tip membaca buku agar tidak bosan, Cikgu Wanny kongsi 5 cara mudah
2) Jangan tunjuk kita ini serba tahu
Bukan tidak boleh menunjukkan kemampuan diri, tetapi dengan cara yang tidak menyakitkan hati orang lama di sana.
Ini tidak, kita komplen kerja orang dan kita puji diri sendiri. Jawatan orang kita ambil dan kita tidak mahu mendengar pandangan orang lain. Ini tidak baik untuk hubungan jangka panjang.
3) Banyakkan bertanya
Sebagai orang baharu kena banyak bertanya supaya cepat belajar. Ingat, jika kita guru lama, budaya kerja di sana mungkin berbeza. Tunjukkan kita ada budi bahasa. Pasti akan disenangi orang.
4) Banyakkan mendengar
Orang baru elakkan terlibat dengan kumpulan tertentu. Jadi pendengar sahaja dan jangan terlibat dengan politik organisasi yang wujud. Kita mungkin tidak tahu siapa sebenarnya yang betul. Sikap berdiam diri itu akan menyelamatkan kita daripada fitnah yang lain.
5) Jangan mengelak kerja
Ini yang kita perlu elakkan. Belajarlah menerima dahulu. Selepas itu baru berbincang dengan pihak tertentu berkaitan tugasan. Mungkin ia tugasan baru, maka kita perlu belajar dengan guru yang berpengalaman.
Mengelak kerja bukan sahaja mengundang rasa meluat di hati orang lain, malah boleh menyebabkan prestasi kita kurang baik.
6) Pastikan waktu datang dan balik kerja mengikut peraturan sekolah
Perkara ini juga turut dinilai dalam organisasi. Jangan kita tersenarai dalam golongan yang sering datang lewat tanpa sebab. Orang baharu perlu menunjukkan sikap yang baik di tempat baharu. Jika tidak, kita akan jadi bahan gosip di sana.
7) Masuk kelas tepat pada masanya dan mengajarlah dengan penuh kesungguhan
Orang baharu jangan ambil remeh akan perkara ini. Banyak mata yang sedang memandang. Tunjukkan kita, orang yang amanah dalam bekerja. Pelajar sedang menilai dan mereka pasti akan menyebut siapa kita di belakang nanti.
8) Terima seadanya
Kadang-kadang kita rasa kurang selesa berbanding di tempat lama. Tetapi kita perlu faham bahawa diri ini orang baharu. Mungkin untuk sementara waktu, hanya itu yang ada.
Mungkin juga kita terpaksa mengambil alih kelas yang bermasalah. Oleh kerana kita orang baharu, kita yang perlu menerimanya. Begitulah adat menjadi orang baharu. Ambillah ia sebagai pengalaman baharu dalam hidup. Jangan merungut. Fikir solusi untuk menghadapinya.
Apa yang pasti, lambat-laun kita akan dapat menyesuaikan diri dan satu hari akan mendapat keselesaan dan dipermudahkan dalam setiap tugasan.
Ikuti juga kami di:
Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/
Twitter: https://twitter.com/GPSBestari
Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/
9) Sampaikan suara hati kita dengan berhati-hati
Orang baharu kadang-kadang diberi pelbagai kerja. Perkara ini mungkin tidak disedari oleh pihak pengurusan. Apa yang terbaik, jika kita rasa beban kerja sudah terlalu banyak, bawalah kepada pengetahuan mereka. Sampaikan kepada mereka secara baik supaya mereka boleh memahami apa yang kita maksudkan.
Perlu faham, dalam keadaan tertentu, kita perlu belajar mengatakan tidak. Bukan kita mahu mengelak kerja, tetapi kerja yang ada sudah cukup banyak dan membebankan.
Bagaimana jika mereka tidak mahu mendengarnya?
Bersabarlah. Ingat, kita ini orang baharu dan ada nilai diri. Jangan sampai tindakan kita menyebabkan nilai diri sendiri menjunam di mata orang, sedangkan kita hanya bertindak untuk hak di dalam organisasi.
Apa yang penting, kita sudah menyampaikan, selebihnya, serahkan kepadaNya.
10) Elakkan berada dalam kumpulan yang dominan, sebaliknya bergaullah dengan semua orang
Inilah kesilapan yang sering kita buat sebagai orang baharu. Kumpulan yang dominan dalam organisasi, belum tentu kumpulan yang baik. Mereka memang mencari pengaruh dan kita jangan terperangkap dalam permainan mereka.
Jadilah orang yang neutral. Ke mana pergi, diterima, disenangi dan disegani.
Sumber: Facebook Razali Saaran