Seni tari jadikan Putera Aisy lebih fokus

Iklan
Walaupun perlu menghadiri latihan secara kerap namun ia sama sekali tidak menganggu pembelajaran Putera Aisy.

Tidak mengganggu pelajaran walaupun perlu kerap berlatih

Tarian didefinisikan sebagai pergerakan badan, kaki dan tangan mengikut rentak muzik yang dimainkan.

Selain dilihat sebagai satu senaman, secara tidak langsung ia juga membantu meningkatkan kecerdasan otak terutamanya bagi pelajar sekolah.

Iklan
Iklan

Bersetuju dengan definisi itu, Putera Aisy Aniq Darwisyah Istiaq memberitahu, sejak aktif dalam seni tari ketika berusia enam tahun, ia sedikit sebanyak membantu dirinya untuk kekal fokus di dalam kelas.

Mana tidaknya, melakukan perkara yang disukai membuatkan Putera Aisy seronok dan sentiasa bersemangat sama ada ketika latihan atau di dalam kelas.

Iklan

Menurut pelajar Tahun Enam, Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Buaya, Rawang itu, penglibatan awalnya bermula dengan mewakili sekolah sebelum aktif dalam Program Seni Tari di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

"Pada awalnya saya teruja apabila buat kali pertama melihat kakak sulung juga merupakan salah seorang penari di bawah program yang sama.

Iklan

"Perasaan itu membuatkan saya ingin turut serta dan ia mendapat sokongan penuh daripada kedua ibu bapa yang sentiasa memberi dorongan padu terhadap kami,” ujarnya kepada Sinar Bestari baru-baru ini.

Anak kedua daripada tiga beradik itu juga memaklumkan, pendedahan tentang seni tari tidak terikat kepada tarian tradisional Melayu seperti zapin dan makyung semata-mata.

Malah dia turut berlatih tarian tradisional kaum lain seperti ngajat bagi kaum Iban di Sarawak, sumazau yang ditarikan oleh kaum Kadazan Dusun di Sabah dan bharata natyam oleh kaum India.

Kelainan pergerakan dalam setiap tarian yang dipelajari membuatkan Putera Aisy semakin berani menonjolkan bakat dengan menyertai pelbagai pertandingan dan persembahan sehingga ke luar negara.

Bercerita lebih lanjut tentang penyertaannya, Putera Aisy pernah ke Kemboja sebagai duta negara bagi mempersembahkan tarian tradisional Melayu pada 2019.

Namun penglibatannya secara aktif sama sekali tidak mengganggu proses pembelajaran di sekolah memandangkan latihan hanya dijalankan selepas tamat sesi persekolahan dan hujung minggu.

Ujarnya, rakan-rakan sekelas turut membantu sekiranya dia ketinggalan dalam pelajaran disebabkan perlu membuat persiapan sama ada untuk persembahan atau pertandingan tarian.