Bukan sekadar pingat yang dibawa pulang, malah pengalaman manis sebagai 'jurutera' walau masih di alam persekolahan.
Kejayaan di pentas antarabangsa itu membuka mata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Setapak Indah bahawa dunia pengekodan dan robotik bukan lagi sesuatu yang asing, sebaliknya medan baharu untuk mereka mengenal potensi diri.
Di sebalik senyuman dan rasa lega selepas pertandingan, inilah suara hati pelajar yang menemukan keseronokan dalam pembelajaran teknologi.
"Selepas menyertai pasukan ini untuk ke pertandingan, saya belajar tentang pengekodan lebih mendalam, cara menggunakan robot dengan betul, dan paling penting belajar berkomunikasi serta kerja berpasukan.
“Robotik ini banyak menggunakan logik Matematik, pengiraan jarak dan masa. Dalam Sains pula, saya lebih faham konsep mekanikal dan fizik.
“Sebenarnya, robotik yang kami pelajari ini membuatkan saya berfikir lebih sistematik. Sekiranya ada masalah, akan cuba belajar pecahkan kepada bahagian-bahagian kecil dan selesaikan satu persatu. Kami juga jadi lebih kreatif dalam mencari penyelesaian.” - Aleeya Muhammad Faridzman, 16
"Cabaran yang kami hadapi adalah teknikal dan masa sebenarnya kerana kami kesuntukan masa dan terpaksa mengambil masa lebih daripada yang ditetapkan. Bacaan pengekodan kami juga kurang tepat.
“Kami berbincang dan sepakat untuk menukar strategi kepada pengekodan asas supaya projek dapat disiapkan dengan lebih stabil dalam masa yang ditetapkan.
“Saya berharap sekolah dapat menyediakan kemudahan robot yang lebih lengkap seperti ruang kerja khas, Internet yang stabil serta peralatan dan komponen mencukupi supaya projek dapat dijalankan dengan lebih lancar.” - Puteri Auni Natasha Mohamed Fadil, 16
"Sepanjang menyertai pasukan ini dari peringkat sekolah sehingga ke peringkat antarabangsa, robotik sangat membantu pemikiran saya dalam mata pelajaran Matematik dan Sains.
“Mungkin kerana robotik memerlukan daya pemikiran yang kreatif dan cepat untuk menyelesaikan masalah.
“Secara tidak langsung, pelibatan dalam pertandingan robotik ini telah menambahkan minat saya untuk menceburi kerjaya dalam bidang sains dan teknologi bagi menghasilkan idea serta konsep baharu untuk menyelesaikan satu masalah.” - Hana Arisya Mohd Akmal Affendi, 14
"Ini baru permulaan. Bukan sekadar bangga tetapi saya terdorong dan diberi peluang untuk buktikan bakat muda Malaysia mampu bersaing di peringkat global.
“Saya tak nampak ini sebagai kemenangan awal, tetapi tanggungjawab untuk bawa nama negara setaraf dengan negara maju dalam teknologi. Selepas diumumkan menang sebelum ini, saya terfikir apa lagi yang kami boleh cipta esok.
“Impian saya mahu wujudkan Innovation Lab yang terbuka kepada semua pelajar, bukan hanya pasukan robotik. Tempat untuk eksperimen, gagal, belajar dan cuba idea baharu. Malaysia perlukan budaya inovasi dari usia muda. Saya percaya sekolah boleh jadi pusat melahirkan pencipta masa depan, bukan sekadar tempat belajar untuk peperiksaan.” - Muhammad Rayyan Rusli, 16