Awal Februari lalu menyaksikan seluruh dunia menangisi nasib yang menimpa Turkiye dan Syria apabila dilanda gempa bumi berukuran 7.8 magnitud.
Bencana itu telah mengorbankan lebih 20,000 nyawa setakat hari ini selain mengakibatkan kerosakan harta benda yang dahsyat.
Gempa bumi itu juga telah menyebabkan ribuan artifak dan bangunan bersejarah di Turkiye musnah.
Antaranya Istana Gaziantep yang berusia lebih 2,000 tahun peninggalan Empayar Rom.
Untuk pengetahuan pembaca, istana ini pernah menjadi benteng pertahanan tentera Rom pada abad ke-2 dan ke-3.
Jom! Sinar Bestari kongsikan kepada pembaca lima fakta menarik tentang istana bersejarah di Turkiye ini.
1) Istana Gaziantep dibina semasa pemerintahan Empayar Hittite di negara itu. Mereka membangunkan tapak istana pada milenium ke-2 Sebelum Masihi.
2) Empayar Hittite pada awalnya menjadikan tapak istana sebagai tempat pemerhatian sebelum kedatangan Empayar Rom yang membangunkan istana pada abad ke-2 dan ke-3 Masihi. Rom telah menjadikan istana tersebut sebagai kubu dan benteng untuk menahan serangan pihak lawan.
3) Pada tahun 661 Masihi, istana itu telah diserahkan kepada pemerintahan Bani Umayyah. Istana Gaziantep kekal dalam kawalan orang Islam sehingga tahun 962 apabila kota itu ditawan Empayar Byzantine. Selepas itu ia sentiasa bertukar pemerintahan antara empayar-empayar besar lain yang aktif berperang termasuk ditawan tentera Kristian dalam peristiwa Perang Salib sekitar tahun 1098.
4) Masyarakat tempatan di Turkiye memanggil istana ini 'Gaziantep Kalesi' yang membawa maksud Kubu Gaziantep.
5) Sebelum terjejas kerana gempa bumi, Istana Gaziantep telah dijadikan muzium serta menjadi antara tarikan utama pelancong di sana.